Atu Zero, isteri bantu jahit baju PPE untuk petugas hospital
SHAH ALAM – Walaupun tidak mampu menghulurkan bantuan kewangan, pelawak Atu Zero dan isterinya, Shafeeqa Johari kini bertungkus-lumus membantu menjahit peralatan pelindung diri (PPE) untuk petugas hospital.
Katanya, dia terpanggil membantu barisan hadapan selepas melihat hantaran seorang jururawat di laman Facebook meminta bantuan mana-mana pihak yang sudi menjahitkan baju itu.
“Sekarang saya duduk di rumah menjaga anak saja, ada waktu terluang ini saya fikir apa salahnya memberi bantuan dari segi tenaga. Kesian mereka perlu bekerja dalam masa sama perlu baju sendiri,” katanya.
Dia yang juga pengurus kumpulan Zero berkata, sebelum ini turut menjahit sendiri semua PPE dan menyalurkannya kepada hospital-hospital yang memerlukan.
Shafeeqa yang juga seorang tukang jahit berkata, dia juga sedang mencari pihak kilang yang boleh membantu secara sukarela untuk menjahit PPE dengan kuantiti yang banyak dalam kadar segera untuk Hospital Sungai Buloh.
“Okey, ini untuk Hospital UiTM Sungai Buloh. Kami memerlukan tenaga jahit yang banyak dan boleh dapat dengan kadar segera.
“Siapa ada kilang produce baju PPE, bukan nak buat baju raya ya, boleh WhatsApp saya. Memang kilang tak boleh buka waktu ini tapi kami cuba untuk dapatkan pelepasan.
“Kalau nak jahit di rumah 'limited space', kami perlukan dalam kuantiti yang banyak. Tolong kami, untuk frontliner negara,” tulisnya di akaun Instagram miliknya.
Usahanya itu turut mendapat pujian ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!