Kru kapal asing tidak dibenarkan mendarat di Langkawi
LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis tidak membenarkan kru kapal layar asing berada di perairan Langkawi untuk mendarat dalam usaha mencegah penularan wabak Koronavirus (Covid-19).
Timbalan Pengarah Operasi Maritim, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, sebanyak 10 kapal layar asing berada di perairan Langkawi sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan.
Menurutnya, susulan itu pihaknya melaksanakan operasi bersepadu yang turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Pejabat Kesihatan Langkawi semalam bagi memantau keberadaan kapal layar asing ketika tempoh PKP di perairan itu.
"Kita melakukan pemeriksaan ke atas lebih kurang 10 kapal layar asing, yang mana kesemua kapal layar tersebut telah berada di perairan Langkawi sebelum arahan PKP dikeluarkan.
"Sebagai langkah pencegahan, kru kapal layar tersebut tidak dibenarkan mendarat dan perlu berada di kawasan kuarantin yang telah ditetapkan JLM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan berkenaan selaras dengan Pekeliling Pelabuhan yang dikeluarkan JLM bahawa kapal layar asing tidak dibenarkan memasuki perairan Malaysia dalam tempoh PKP.
Katanya, pihaknya memandang serius perkara ini dan akan bertindak tegas sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya membabitkan jangkitan dari warganegara asing.
"Sehubungan itu, kita turut berharap setiap Marina Kapal Layar untuk tidak menerima kehadiran kapal layar dan menyalurkan maklumat berkaitan larangan kemasukan kapal layar asing ke perairan Malaysia sehingga tamat PKP," katanya.
Dalam perkembangan sama katanya, pemantauan udara juga dilaksanakan menggunakan helikopter AW139 milik Maritim Malaysia yang melibatkan kawasan pemantauan sehingga ke Pulau Perak.
"Melalui pemantauan itu, kita dapati hanya beberapa bot nelayan menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ini memberi petunjuk positif bahawa komuniti maritim semakin sedar kepada arahan PKP yang telah memasuki fasa dua," katanya.
Katanya, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan perairan Malaysia selamat dan komuniti maritim amnya dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!