Enam motosikal musnah dalam kebakaran
GEORGETOWN - Enam buah motosikal musnah dalam satu kebakaran di lot parkir di bawah Blok 9 Lintang Macallum 2, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian 4 pagi itu, keenam-enam motosikal itu belum diketahui jenisnya kerana musnah 100 peratus.
Menurutnya, kawasan kejadian adalah tempat meletak motosikal terbuka dan tiada pengawal keselamatan.
"Kebakaran disedari seorang lelaki yang tinggal di Blok 11 dengan tingkap bilik rumahnya bertentangan dengan tempat kebakaran. Dia terdengar bunyi letupan lalu melihat di luar tingkap dan mendapati api sedang marak di tempat meletak motosikal di blok terbabit.
"Lelaki itu terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lima daripada motosikal itu jenis biasa dan sebuah motosikal berkuasa tinggi.
"Pemilik motosikal belum dikenalpasti. Pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengambil sampel enam motosikal yang terbakar itu untuk dianalisa.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada kamera litar tertutup (CCTV) selain tiada saksi bebas tampil untuk membantu siasatan. Motif dan punca kejadian masih belum diketahui. Suspek juga belum dikenalpasti. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Che Zaimani berkata, polis sedang menunggu laporan dari bomba dan kes masih dalam siasatan.
Tambahnya, anggaran kerugian juga belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!