Negatif Covid-19 bukan bermakna tiada risiko terkena jangkitan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang menjalani ujian saringan kesihatan dan pengesanan koronavirus (Covid-19) dan disahkan negatif bukan bermakna mereka ‘negatif’ kepada wabak itu selama-lamanya.

Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Zienna Zufida Zainol Rashid berkata, sekiranya mereka terdedah kepada situasi berisiko wabak Covid-19, individu berkenaan masih boleh berpotensi untuk dijangkiti.

“Pada masa dia disahkan negatif itu, selepas tarikh tersebut, jika dia masih terdedah kepada risiko seperti jumpa pesakit Covid-19 atau pergi perhimpunan ramai yang mana disahkan terdapat pesakit Covid-19, dalam situasi itu, dia boleh mendapat semula (jangkitan).

“Maksudnya, sekali ujian tidak bermakna dia negatif selama-lamanya,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Facebook KKM dengan topik ‘Kenali Covid-19’ hari ini.

Siaran langsung yang turut disertai Pakar Perubatan KKM, Dr Aizuniza Abdullah bertujuan menjawab kemusykilan yang diutarakan berkaitan wabak Covid-19 oleh warganet.

Sehubungan itu, Dr Zienna Zufida berkata, adalah amat penting untuk mengamalkan kaedah pencegahan seperti kerap membasuh tangan, mengamalkan jarak sosial dan duduk di rumah bagi membendung penularan wabak, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sementara itu, mengenai dakwaan yang tular bahawa vitamin C boleh mencegah Covid-19, Dr Zienna Zufida berkata, setakat ini tiada kajian yang boleh membuktikan perkara itu.

“Secara amnya, vitamin C boleh dimakan untuk tambahan zat makanan tapi bukan untuk mencegah Covid-19. Itu tiada apa-apa bukti kajian,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!