Pegawai UDA Holdings derma plasma, uji serum rawatan Covid-19

Reza kini bebas dari Covid-19 dan menjadi penderma plasma pertama untuk menguji serum Covid-19.
Reza kini bebas dari Covid-19 dan menjadi penderma plasma pertama untuk menguji serum Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainuddin, 41, menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih untuk mendermakan 'convalescent plasma' bertujuan menguji serum bagi rawatan Covid-19.

Reza Huzairi yang juga sebagai Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad berkata, dia sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan ditahan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh selama 11 hari.

"Selepas dibenarkan keluar wad sejak ditahan pada 14 Mac lalu, dua minggu kemudian saya dihubungi seorang doktor dari Hospital Sungai Buloh memaklumkan saya dipilih sebagai penderma plasma untuk digunakan bagi serum rawatan Covid-19.

"Menurut doktor itu, saya adalah rakyat Malaysia pertama dipilih untuk dermakan plasma ini.

"Sekiranya berjaya, plasma atau serum itu akan digunakan untuk pesakit Covid-19 terpilih bagi membantu proses penyembuhan lebih cepat," katanya menerusi Facebooknya semalam.

Reza berkata, doktor berkenaan memaklumkan dia dipilih sebagai penderma berikutan antibodinya berada dalam keadaan baik ketika melawan virus Covid-19.

Menurutnya, dia juga tidak mengamalkan sebarang pengambilan ubat untuk tempoh jangka masa panjang.

"Doktor maklum plasma saya sesuai untuk penderma pertama dan saya mengharapkan doa-doa anda supaya kajian ini berjaya dan dapat menolong lebih ramai pesakit Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pengalamannya sewaktu ditahan di wad isolasi, Reza berkata, dia turut berdepan tekanan berikutan banyak perkara difikirkannya ketika itu.

Katanya, dia hanya berserah kepada ALLAH dan menganggap segala yang berlaku ada hikmah di sebaliknya

"Dalam resah memikirkan diri sendiri, saya juga resah memikirkan tentang isteri dan anak-anak di rumah.

"Juga kepada semua kakitangan saya. Bimbang jika virus yang ada pada saya ini bakal menjangkiti mereka pula," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ALLAH gantikan kesedihan tahun 2020 dengan perasaan terharu dan bangga kerana berpeluang membantu pesakit Covid-19 menerusi pendermaan plasma darahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!