Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, kata Bank Dunia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh berikutan kepelbagaian ekonominya meskipun penurunan gred penafaran oleh Nomura Global Markets Research ke atas pasaran ekuitinya, kata Bank Dunia.

Pakar Ekonomi Utama bahagian Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Richard Record berkata, aliran pendapatan Malaysia yang pelbagai seperti pembuatan elektrik dan elektronik, komoditi, sumber semula jadi, pertanian serta permintaan luaran dan domestik akan memberi kekuatan kepada Malaysia.

“Dalam tempoh jangka sederhana, terdapat cabaran bagi modal insan, produktiviti dan tadbir urus.

[ARTIKEL BERKAITAN: Defisit fiskal: Guan Eng sangkal laporan Nomura]

“Bagaimanapun, kita melihat banyak perkembangan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 bagi 2019-2020 di mana kerajaan merangka pelan baharu untuk menangani isu-isu tersebut bagi tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan Bank Dunia mengenai “Globalisation: Contents and Discontents” di sini, hari ini.

Record berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus stabil dan Bank Dunia mengunjurkan ia berkembang pada 4.7 peratus bagi 2019.

Sementara itu, pakar ekonomi dan felo pelawat penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata sama ada sesebuah negara mencatatkan prestasi baik, terutamanya bagi sebuah ekonomi terbuka seperti Malaysia, bergantung kepada banyak perkara.

“Agensi penarafan tidak boleh diharap. Saya tidak percaya dengan agensi penarafan tetapi ramai yang percaya, kalau tidak mereka akan gulung tikar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jomo merupakan salah seorang pengerusi bagi sesi panel di persidangan tersebut.

Pada 9 Januari, Nomura Global Markets Research menurunkan penarafan pasaran ekuiti Malaysia kepada ‘underweight’ daripada ‘neutral’ sebelumnya, berikutan prospek pertumbuhan pendapatan yang kurang menggalakkan dan defisit fiskal tinggi pada 3.9 peratus bagi 2018.

Sebagai reaksinya kepada laporan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan pada 10 Januari menyatakan bahawa kerajaan yakin dapat mencapai defisit fiskal 3.7 peratus dan 3.4 peratus masing-masing pada 2018 dan 2019.

"Saya telah menyemak akaun kewangan awal yang kami tutup tahun lepas dan kedudukan fiskal kerajaan adalah dalam 3.7 peratus daripada sasaran defisit keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2018.

“Laporan Nomura bahawa defisit fiskal 2018 akan merosot kepada 3.9 peratus daripada KDNK adalah tidak benar,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!