Pembangunan Kampong Bharu masih samar: Annuar
KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan pembangunan Kampong Bharu masih samar berikutan terdapat 40 peratus pemilik dan pewaris belum memberikan persetujuan.
"Belum ada pihak bersedia mengeluarkan dana sebanyak RM7 bilion bagi pembelian tanah tersebut," katanya.
Menurutnya, perancangan pembangunan Kampong Bharu sukar diteruskan sekiranya beberapa masalah besar yang dihadapi tidak dapat diselesaikan.
"Terdapat beberapa masalah besar yang sebelum ini tidak dikongsi kepada umum termasuk hanya 60 peratus pemilik dan pewaris bersetuju dengan cara pembangunan yang dicadangkan manakala 40 peratus lagi tidak memberikan persetujuan.
"Jika keadaan itu berkekalan, ia akan menjadi satu persoalan awal yang perlu diambil perkiraan. Kita tidak boleh lakukan sesuatu yang tidak disenangi pemilik tanah.
"Ada juga beberapa masalah lain termasuk perundangan. Masalah paling besar adalah siapakah yang akan memajukan Kampong Bharu kerana setakat ini belum ada dana yang cukup besar untuk membeli kesemua tanah iaitu sebanyak RM7 bilion yang setakat ini belum diputuskan," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Terdahulu, Annuar berkata, beliau telah menghadiri taklimat di Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu bersama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar pagi ini.
Katanya, satu jawatankuasa profesional yang terdiri daripada pakar dalam bidang pembangunan dan perundangan perlu dibentuk bagi menyelesaikan masalah pembangunan Kampong Bharu.
"Pembangunan Kampong Bharu tidak mudah dibangunkan. Ia berkait dari segi perundangan, perancangan fizikal dan sebagainya. Ternyata masalah 30 dan 40 tahun lalu yang dibincangkan secara akademik masih berlaku sehingga sekarang.
"Bagaimanapun kita harus lakukan sesuatu yang sesuai untuk memastikan pemilik pewaris tanah Kampong Bharu mesti menikmati kemajuan pembangunan sejajar dengan pembangunan Kuala Lumpur," katanya.
Terdahulu, kerajaan menawarkan pembelian tanah sebanyak RM1,000 setiap kaki persegi untuk pembangunan semula Kampong Bharu.
Bekas Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berharap Pelan Pembangunan Kampong Bharu diteruskan oleh kerajaan baharu memandangkan lebih 60 peratus daripada 5,374 pemilik bersetuju untuk menjual tanah mereka.
Khalid berkata, persetujuan itu melibatkan keluasan tanah seluas kira-kira 32.3 hektar daripada jumlah keseluruhan 60.7 hektar di kampung berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!