Tangki air statik di pusat kuarantin: SADA
ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan bekalan air melalui penempatan tangki statik untuk kegunaan Pusat Kuarantin Covid-19 iaitu di Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sungai Petani.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, bantuan bekalan air turut disalurkan melalui penempatan tangki statik di tapak saringan Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Menurutnya, pusat berkenaan adalah bagi menempatkan pesakit dalam siasatan Covid-19 susulan ruang di hospital tidak mencukupi.
“Sebanyak dua buah tangki statik ditempatkan di setiap kawasan. Penempatkan tangki statik berkapasiti 400 gelen itu turut dilengkapi kemudahan paip air untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air bersih di kawasan itu, selain membantu proses nyah kuman,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Suhaimi berkata, penempatan tangki statik itu bermula sejak 24 Mac lalu dan akan diteruskan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sehingga ada keperluan.
“Saya mohon agar semua pengguna dapat terus kekal berada di rumah masing-masing dan patuhi PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April. SADA akan meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memastikan bekalan dapat diagihkan kepada pengguna dengan sempurna, selain minimakan gangguan bekalan air dari masa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akur permintaan bekalan air di premis pengguna akan berlaku peningkatan drastik sepanjang tempoh PKP.
“Kami harap pengguna menggunakan air secara berhemah, kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pencuci tangan bagi mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya.
Mohd Suhaimi berkata, sepanjang tempoh PKP, SADA meminimumkan operasi dengan hanya memfokus kepada perkhidmatan penting seperti operasi di Loji Rawatan Air, kerja-kerja agihan dan penyelenggaraan serta pembaikan sistem bekalan air.
“Semua operasi di kaunter pembayaran dan khidmat pelanggan ditutup buat masa ini. Pengguna boleh gunakan saluran atas talian untuk pembayaran bil,” katanya.
Menurutnya, proses bacaan meter dilakukan secara anggaran manakala proses serahan bil dilakukan kepada pengguna sepanjang tempoh lanjutan PKP.
Pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi SADA di talian 1-300-88-0017 atau pejabat SADA Wilayah dan Daerah untuk sebarang pertanyaan dan aduan.
“Pihak SADA berharap pengguna memberi kerjasama baik agar penularan Covid-19 dapat dibendung demi kesejahteraan semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!