Maradona tawar diri potong gaji
LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona menawarkan potongan gaji bagi membantu kelab bimbingannya, Gimnasia La Plata menangani krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
Maradona yang masih mempunyai baki kontrak empat bulan sebagai pengendali Gimnasia mengemukakan cadangan tersebut kepada pegawai kelab Argentina menerusi pasukan pengurusannya kelmarin.
"Menerusi pembantunya, kami menerima satu panggilan telefon. Dia (Maradona) memberitahu, jika dirasakan perlu mengurangkan gajinya, dia sedia membantu.
"Kata-kata itu jelas menggambarkan ia datang daripada seorang yang tidak memikirkan wang dan menunjukkan betapa dia ingin membantu Gimnasia berdepan dengan keadaan ini," kata presiden kelab, Gabriel Pellegrino.
Tawaran Maradona itu hadir beberapa hari selepas bintang Barcelona, Lionel Messi memaklumkan dia dan rakan-rakan sepasukannya sedia memotong 70 peratus gaji mereka bagi memastikan semua kakitangan kelab gergasi Sepanyol itu mendapat gaji ketika saingan liga ditangguhkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!