50 peratus kes Selangor dari Hulu Langat: Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hulu Langat menjadi 'penyumbang terbesar' peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Selangor iaitu sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan gelombang kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, faktor utama jangkitan berlaku di daerah itu dikenalpasti berpunca daripada sekolah tahfiz dan madrasah agama.

"Ada di antara mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, bulan lalu," katanya.

Menurutnya, setakat ini jumlah positif di Hulu Langat meningkat 13 kes menjadikan keseluruhannya 300 kes.

"Kalau di Selangor, kita ada 600 kes lebih, separuh daripadanya ialah Hulu Langat," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, di Kampung Sungai Lui terdapat 210 kes iaitu 25 daripadanya berkaitan dengan kluster Sri Petaling.

"Jadi ini adalah salah satu sebab 50 peratus daripada kes di Selangor berkaitan jemaah Sri Petaling dan sekarang ia telah menular di kalangans sekolah dan madarasah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 41 kes positif baharu yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM berkaitan dengan madrasah tahfiz di Hulu Langat.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik KKM setakat jam 12 tengah hari ini, Selangor mencatatkan kes baharu sebanyak 63 kes dan jumlah kumulatif positif 863 sekali gus menjadikan negeri itu paling tinggi dijangkiti virus berkenaan.

Sementara itu, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing tiada kes baharu direkodkan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, berhubung status terkini kes Covid-19, terdapat 217 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 3,333.

Katanya, daripada 217 kes baharu, 58 daripadanya berkaitan dengan perhimpunan Sri Petaling.

"Sehingga kini, seramai 108 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menyentuh mengenai kes yang telah pulih, beliau berkata, terdapat 60 pesakit yang telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 827 kes iaitu 24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, terdapat tiga kes kematian baharu direkodkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan.

"Ini menjadikan kumulatif kes kematian sebanyak 53 kes. Dua daripada kematian mempunyai penyakit kronik iaitu jantung, kencing manis dan buah pinggang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!