Titah sulung Sultan Pahang kepada pemimpin, rakyat

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
A
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] “Kuat berdiri pohon kerana akarnya. Kuat akar kerana tanahnya." Demikian titah dan pesanan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah demikian kepada seluruh rakyat jelata usai istiadat pemasyhuran baginda di Balairong Seri Istana Abu Bakar, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Baginda bertitah, sesungguhnya kekuatan sebuah negeri adalah kerana raja pemerintah, manakala kekuatan raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya.

Menyedari hakikat tersebut, oleh itu baginda menyeru barisan saf kepimpinan negeri di setiap lapisan peringkat, untuk berkhidmat kepada rakyat jelata dengan penuh amanah, bertanggungjawab serta menjunjung sifat ketakwaan.

“Hanya pemimpin yang bertakwa sahaja yang akan menginsafi bahawa setiap perbuatan dan keputusan yang dibuat bakal dihitung di akhirat kelak.

Sultan Pahang, Sultan Abdullah
Sultan Pahang, Sultan Abdullah

“Kepada rakyat jelata sekalian, daya ini tidak ubah 'bagai condong yang akan menongkat. Bagai rebah yang akan menegak'. Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah, dan menumpang kasih apabila berduka.

“Legasi pemerintahan Paduka Ayandanda yang berpaksikan kepada kata keramat “Raja dan Rakyat berpisah tiada” akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintahan saya,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Dalam titahnya baginda juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kaum keluarga, kerabat dan Jemaah Pangkuan Diraja negeri Pahang dalam memberikan kepercayaan melantik dan memasyhurkan baginda sebagai Sultan Pahang ke-6.

Baginda mengakhiri titah dengan memetik kata-kata Sayidina Abu Bakar As-Siddiq tatkala diangkat menjadi khalifah yang pertama;

"Sesungguhnya aku telah dilantik sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Maka jika aku berbuat baik maka bantulah aku. Namun jika aku berbuat salah, maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah amanah, sedangkan pendustaan adalah khianat."

“Maka taatlah kepada aku, selama mana aku taat kepada ALLAH dan rasul-NYA. Dan jika aku menderhakai ALLAH dan rasul-NYA, maka tidaklah perlu kamu mentaati aku. Mudah-mudahan kata-kata ini akan menjadi panduan sepanjang pemerintahan saya,” akhiri baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!