Jurutera degil ditahan kerana berjoging
BAYAN LEPAS - Seorang jurutera kilang ditahan kerana tidak mengendahkan amaran polis ketika sedang berjoging di Taman Jajar, Sungai Ara di sini pada jam 7.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, polis memberi tiga kali amaran kepada jurutera berusia 53 tahun itu supaya pulang ke rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Lelaki itu ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi tadi.
Katanya, ketika soal siasat lelaki yang memakai baju T dan berkasut sukan itu mendakwa dia keluar dari rumah dengan berjoging untuk ke Pasar Pagi Sungai Ara yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan berkenaan.
"Lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 7 (1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020," katanya.
Beliau berkata, sejak 18 Mac lalu hingga hari ini, seramai 29 orang ditahan di daerah Barat Daya kerana melanggar PKP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!