Status GP Malaysia belum diputuskan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

STATUS perlumbaan MotoGP Dunia 2020 pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadual berlangsung November ini masih belum diputuskan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ia susulan perkembangan pandemik koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia semakin membimbangkan sehingga menyukarkan Dorna Sports selaku promoter MotoGP Dunia dalam membuat pindaan jadual perlumbaan yang terjejas.

“SIC sering berkomunikasi dengan Dorna sekurang-kurangnya dua kali seminggu sejak penularan Covid-19 dan susah bagi mereka untuk membuat perancangan setakat ini kerana ketidaktentuan global serta kesukaran menentukan apa bakal berlaku pada masa hadapan.

“Tetapi berdasarkan perbincangan saya bersama Carmelo Ezpeleta (CEO Dorna Sports) dua hari lepas, setakat ini tiada perancangan untuk menunda GP Malaysia, tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya kepada pemberita menerusi persidangan video hari ini.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama Dorna Sports, promoter tersebut menjangkakan untuk menyambung semula saingan musim 2020 seawal Ogos ini sekiranya penularan Covid-19 berjaya ditangani.

"Dorna Sports tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan format ‘dua perlumbaan hujung minggu’ dengan bertujuan mengurangkan tempoh masa bagi melengkapkan keseluruhan perlumbaan musim ini sekiranya ia disambung pada Ogos," katanya.

Tiga perlumbaan pertama MotoGP musim 2020 iaitu GP Qatar, GP Sepanyol dan GP Perancis terpaksa ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Razlan mengakui penambahan kes jangkitan Covid-19 di peringkat global serta penangguhan beberapa siri perlumbaan pada awal musim menjejaskan penjualan tiket GP Malaysia yang sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.

Artikel Berkaitan:

“Tiada penjualan tiket langsung sejak isu Covid-19, tetapi saya yakin keadaan akan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Razlan yang juga prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) berkata, barisan penaja masih bersama pasukan itu dalam tempoh sukar ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!