Bank Dunia tawar India AS$1 bilion biayai usaha bendung Covid-19
NEW DELHI - Bank Dunia menawarkan India AS$1 bilion untuk membiayai usaha memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).
Pembiayaan itu membolehkan kerajaan India meningkatkan usaha mengekang penularan jangkitan antara manusia, termasuk mengurangkan penyebaran dalam kalangan komuniti tempatan.
"Bank Dunia bekerja rapat dengan kerajaan India untuk memberikan sokongan dan bantuan segera," kata Pengarah Bank Dunia bagi India, Junaid Ahmad.
"Operasi ini dapat meningkatkan kapasiti pengawasan, menguatkan sistem diagnostik dan meningkatkan kemampuan makmal," katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa hari kebelakangan ini, India menyaksikan peningkatan ketara dalam kes Covid-19.
Jumlah kes dilaporkan meningkat kepada 2,567 pada Jumaat dan angka kematian seramai 72 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!