PM Singapura umum langkah lebih ketat kekang penularan Covid-19

Singapura hari ini mengambil keputusan untuk mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat mulai Selasa ini. - Foto: Xinhua
Singapura hari ini mengambil keputusan untuk mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat mulai Selasa ini. - Foto: Xinhua
A
A
A

SINGAPURA - Susulan lebih banyak kes tempatan dan kluster baharu muncul, Singapura hari ini mengambil keputusan untuk mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat mulai Selasa ini.

Menyamakannya sebagai pemutus litar, Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong dalam ucapannya mengenai keadaan Covid-19 berkata, langkah sedemikian akan dilaksanakan selama sebulan, buat permulaan.

“Ia akan membantu mengurangkan risiko letusan wabak yang besar dan ia juga seharusnya membantu menurunkan angka kita sedikit demi sedikit. Ini selanjutnya akan membenarkan kami melonggarkan beberapa langkah yang diambil,” katanya.

Setakat 12 tengah hari semalam, Singapura mencatatkan 1,049 kes positif, 266 pulih sepenuhnya sementara 23 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Dalam tempoh sebulan itu, Hsien Loong berkata, kebanyakan tempat kerja akan ditutup kecuali perkhidmatan penting dan sektor ekonomi utama.

“Perniagaan makanan, pasar dan pasar raya, klinik, hospital, utiliti, pengangkutan dan perkhidmatan perbankan utama akan tetap dibuka. Mereka adalah perkhidmatan penting.

"Kami juga tidak seharusnya mengganggu sektor ekonomi strategik atau yang membentuk sebahagian daripada rantaian pembekalan global.

"Mereka yang bekerja di dalam industri ini masih boleh terus pergi kerja dengan mengamalkan jarakan sosial,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Langkah lain yang lebih ketat termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi beralih kepada pembelajaran di rumah sepenuhnya.

Singapura sudah memulakan pembelajaran dari rumah selama sehari minggu ini.

Menurutnya, Singapura juga akan mengetatkan kawalan pergerakan dan perhimpunan ramai.

“Ia berkisar kepada tiga perkara. Pertama, duduk di rumah sebanyak mungkin. Kedua, hindarkan bersosial dengan mereka di luar lingkungan isi rumah anda. Ketiga, keluar hanya untuk urusan penting sahaja,” katanya.

Dalam ucapannya, Hsien Loong juga menyentuh mengenai masyarakat Melayu/Islam dengan menggunakan Bahasa Melayu.

Hsien Loong berkata, beliau menghargai pengorbanan dan penyesuaian besar yang dilakukan masyarakat itu seperti memahami kenapa masjid ditutup dan menunda majlis keramaian yang penting seperti majlis perkahwinan.

“Seperti yang diterangkan Mufti, masyarakat Islam juga perlu membuat penyesuaian bagi Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang. Saya sendiri kecewa kita tidak akan ada bazar di Geylang Serai tahun ini, tetapi ini tidak boleh dielakkan." katanya.

Hsien Loong memberi jaminan bahawa keadaan masih terkawal tetapi melahirkan rasa bimbang kemungkinan bilangan kes baharu akan melonjak dengan tinggi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!