Pematuhan PKP cecah 99 peratus
KUALA LUMPUR - Pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana bagi menangani wabak Covid-19 kini meningkat kepada 99 peratus.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai mula memahami tujuan utama kerajaan melaksana PKP iaitu untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.
"Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada orang ramai, Majoritinya saya boleh kata kini 99 peratus mematuhi dan memahami pentingnya mereka patuh PKP.
"Mereka memahami bahaya sekiranya PKP ini diabaikan. Satu peratus ini yang degil dan memeningkan kita (polis) kerana mereka tidak ambil kisah tentang wabak Covid-19," katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman hari ini.
Abdul Hamid berkata, memasuki fasa kedua PKP kini, pihaknya melaksanakan tindakan lebih tegas dengan menahan mereka yang ingkar perintah serta mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya.
"Sebelum ini, polis laksanakan PKP dengan berhemah dan beri nasihat tetapi ada yang degil seolah-olah mereka tidak akan dijangkiti (Covid-19).
"Sekarang polis masuk ke tahap lebih keras dengan tangkap mereka yang tidak bertanggungjawab... mereka yang keluar tanpa tujuan dibenarkan akan terus ditangkap," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa ramai individu bawah umur ditahan kerana ingkar arahan PKP.
"Ada (individu bawah umur) yang menunggang motosikal berdua yang secara terang-terang melanggar PKP... ini yang menyedihkan dan saya harap ibu bapa dapat kawal mereka ini," katanya.
Abdul Hamid berkata pelaksanaan PKP itu juga secara tidak langsung membuatkan kadar jenayah di negara ini turun antara 65 dan 75 peratus.
"Kadar kemalangan jalan raya juga dilihat turun dan polis akan terus menguatkuasakan PKP bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!