Sekarang masa untuk lebih tegas

A
A
A

KALAU diperhatikan, macam tak ada penghujung usaha melawan penularan Covid-19 di negara kita ini. Selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jelas hasilnya mengecewakan. Apabila kerajaan mengumumkan PKP disambung lagi untuk dua minggu sehingga 14 April depan, ramai yang sudah mula berspekulasi bahawa ia juga bakal disambung lagi untuk kali ketiga kelak.

Mengapa begitu? Data dan laporan harian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan graf kes Covid-19 negara terus menunjukkan peningkatan.

Bahaya Covid-19 ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan nyawa malah turut mengancam ekonomi negara. Ekonomi boleh turun -3 peratus kalau negara gagal mengawal pandemik Covid-19 dengan berkesan. Ini sekali gus akan mengheret negara ke dalam kancah kemelesetan ekonomi sama ada menyamai atau melebihi kesan krisis kewangan Asia tahun 1997-1998.

Sebab itulah cara menanganinya juga harus lebih pantas dan tegas. Sehingga ke hari ini, PKP yang sedang berjalan masih belum cukup untuk membendung penularan Covid-19.

Ketika ini, negara tetangga kita sudahpun mula memasuki fasa bertegas dengan warganya sebagai jalan membanteras Covid-19. Thailand, misalnya, sejak semalam telah mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara mulai jam 10 malam hingga 4 pagi dengan hukuman penjara dua tahun atau denda 40,000 Baht (sekitar RM5,300) kepada mana-mana pihak yang ingkar. Lebih keras di Filipina apabila Presidennya, Rodrigo Duterte mengarahkan pasukan keselamatan untuk menembak mati mana-mana warga yang mengingkari perintah berkurung atau menyusahkan barisan hadapan negara.

Mungkin sudah tiba juga masa untuk kerajaan bertegas dan ‘berkeras’ sedikit berbanding sebelumnya. Melihat situasi semasa, masih ramai warga yang masih degil dan keras kepala melanggar arahan PKP walaupun sedar akan bahaya dan kesan daripada perbuatan mereka itu. Nampaknya, tindakan undang-undang sedia ada masih gagal mencetuskan rasa gerun dan patuh kepada peraturan yang ada.

Daripada PKP sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan perintah berkurung sepertimana yang dilakukan Thailand terutamanya di kawasan Zon Merah. Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mengetatkan undang-undang terutamanya memperkenalkan cadangan denda segera kepada yang ingkar arahan. Barangkali kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memperkasakan kembali skim Rukun Tetangga bagi membantu pihak berwajib untuk sama membantu mengawal pergerakan di taman-taman perumahan ataupun di kampung-kampung.

Kita tidaklah sampai mahu melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lembut dan beradab bertukar menjadi tegas, keras dan bengis seperti Duterte di Filipina. Tetapi kalau masih ada lagi yang terus berdegil, memang patut pun beliau menjadi lebih tegas dan keras demi kebaikan negara. Malah, mungkin ramai yang bersetuju bahawa sudah tiba masanya pun kerajaan hari ini untuk lebih bertegas agar kesengsaraan Covid-19 ini segera berakhir.

Artikel Berkaitan:

Daripada PKP sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan perintah berkurung sepertimana yang dilakukan Thailand terutamanya di kawasan Zon Merah.”

* Mujibu Abdul Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!