Naratif di sebalik Covid-19

A
A
A

SEBETULNYA, pelbagai naratif boleh digarap di sebalik wabak virus Covid-19. Ada yang kaitkan dengan kurangnya kadar jenayah serta kemalangan jalan raya. Tidak kurang juga yang membicarakan tentang alam sekitar yang semakin bersih, hubungan kekeluargaan semakin meningkat serta banyak belajar kemahiran baharu dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun ada juga yang membincangkan secara tuntas kesan kepada ekonomi, sosial dan juga geopolitik baik di dalam serta luar negara kesan daripada penularan wabak ini.

Pun begitu, naratif yang ingin saya kupaskan di sebalik wabak Covid-19 adalah berkaitan dengan nilai bersyukur dan berkorban. Pada hemat saya, kedua-dua nilai ini bukan mudah untuk diterapkan ke dalam sanubari. Ini kerana nilai bersyukur perlu kita pelajari manakala nilai berkorban perlu kita rasai.

Maknanya, kita tidak dapat menerapkan nilai syukur tanpa kita bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan mengambil pedoman serta pengajaran daripada sesuatu yang kita alami, lihat, dengar, baca dan fikir daripada pelbagai sumber manakala nilai berkorban pula hanya mereka yang benar-benar pernah melakukan pengorbanan yang tahu betapa peritnya nilai tersebut untuk direalisasikan.

Hakikatnya, selagi kita tidak berasa nikmat dalam setiap ujian, selagi itulah nilai bersyukur dan berkorban tidak akan menyerap ke dalam diri. Menurut Syeikh Muhammad Abduh, “Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang itu menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal untuk apa nikmat itu diberikan.” Malah hadis daripada al-Nu’man bin Basyir RA di mana Rasulullah SAW bersabda, “Bercakap mengenai nikmat ALLAH bererti syukur, dan sesiapa yang meninggalkannya bererti kufur, dan sesiapa yang tidak bersyukur sedikit nescaya dia tidak bersyukur dengan banyak, dan siapa yang tidak bersyukur kepada manusia dia tidak bersyukur kepada ALLAH.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Ini bermakna kita perlu membuat refleksi diri supaya nikmat itu sentiasa hadir untuk terus melafazkan syukur atas segala ujian. Berkaitan hal ini, saya tertarik dengan kisah sekumpulan anak muda bangsa Kurdis di dalam buku, Permata Buat Orang yang Beriman. Mereka telah mendapat pedoman untuk berhenti menjadi perompak setelah melihat seekor burung yang berulang-alik mengambil buah kurma di pohon yang lebat dan dibawa kepada sebuah lubang pokok kurma yang tiada buahnya. Setelah diteliti, rupanya di dalam lubang tersebut terdapat seekor ular yang buta.

Kesan peristiwa tersebut, mereka berasa insaf kerana masih melakukan kerja-kerja kotor walaupun bersifat sempurna berbanding dengan seekor burung yang cukup kerdil sifatnya. Oleh itu, sewaktu kita diminta berada di rumah, sewajarnya kita menggunakan nikmat ini sebaik mungkin untuk mendapat pedoman mengenal diri dan melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih luas.

Berkaitan dengan nilai berkorban, apabila ditimpa ujian barulah kita tahu sejauh mana kudrat kita untuk menangani ujian sebegini. Kadangkala kita boleh kalah dan berasa ingin berundur daripada medan ujian. Ingatlah, Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang petang harinya berasa letih daripada usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Hadis Riwayat at-Tabrani).

Insya-ALLAH dengan menzahirkan nilai bersyukur dan berkorban ini dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, kita tidak akan terputus hubungan dengan ALLAH. Berkaitan hal ini, saya tertarik dengan kata-kata Dr Majdi al-Hilali seorang pendakwah di Mesir, “Besar dan kecilnya usaha yang dilakukan oleh seseorang untuk melepaskan hati mereka yang masih terbelenggu antara dia dengan ALLAH adalah bergantung kepada dalamnya kegelapan yang meliputi ke dalam hati.

Hati yang hidup, seumpama harta karun yang terpendam di dalam perut bumi yang berbeza antara satu tempat dengan dengan tempat yang lain. Boleh jadi sebahagian orang akan mendapatkannya dengan amat dekat, sedangkan orang lain perlu usaha yang lebih besar dan waktu yang lebih lama untuk sampai kepadanya.”

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!