PKP: Manfaat media sosial untuk kekal positif
TEMPOH lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini pasti membuatkan rakyat Malaysia buntu bagaimana untuk mengisi masa di rumah agar mereka tidak berasa tertekan dan terus kekal positif.
Mungkin ramai yang sudah ‘kering idea’ untuk beraktiviti bersama keluarga tetapi jangan putus asa kerana masih banyak yang boleh dilakukan iaitu dengan memanfaatkan media sosial seperti YouTube umpamanya.
Pakar Psikologi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, menerusi YouTube banyak perkara yang boleh diteroka atau dijadikan rujukan, malah jika dimanfaatkan sebaiknya ia mampu menjana pendapatan bukan saja semasa tempoh PKP tapi juga selepas itu.Beliau memberikan contoh satu aktiviti yang memang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia iaitu memasak.
Menurutnya, buka sahaja YouTube, pelbagai video atau tutorial masakan disediakan, tinggal untuk anda pilih dan cuba sahaja menu atau resipi tersebut.
“Bukan sahaja boleh cuba resipi baharu dan sediakan kepada keluarga tetapi jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh ia mungkin boleh dijual secara online kerana ramai yang memilih untuk membuat pembelian dalam talian sepanjang PKP ini.
“Bagi yang gemar bercucuk tanam pula tapi runsing tiada ruang untuk melakukan aktiviti itu, mereka boleh memanfaatkan YouTube kerana segala teknik penanaman, info penjagaan serta tip menanam pada ruang yang sempit, dalam pasu atau secara hidroponik ada disediakan.
“Dengan melakukan aktiviti begini ia dapat menenangkan jiwa seseorang, malah melalui saluran media sosial yang sama mereka boleh berinteraksi dengan pengguna lain untuk berkongsi tip serta aktiviti yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, aktiviti yang dilakukan akan terasa lebih seronok dan jika dibuat dengan cara yang betul, mungkin ia boleh dikomersialkan untuk jualan.
Fauziah yang juga Pengarah Pusat Kaunseling UPSI berkata, bagi kaum Hawa yang gemar menghias rumah, ini masanya untuk mereka bereksperimentasi dengan kebolehan dimiliki.
Beliau berkata, mereka boleh buat carian di YouTube untuk melihat contoh konsep susun atur rumah yang digemari untuk diaplikasikan dalam rumah sendiri.
“Aktiviti ini bukan sahaja boleh menjadi terapi untuk menghilangkan kebosanan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan keluarga apabila dilakukan bersama.
“Selain itu, kita juga boleh mencuba teknik senaman dan penjagaan diri yang menjadi content di YouTube kerana ramai daripada kita apabila melakukan sesuatu yang mengeluarkan peluh atau berkaitan kecantikan dan kesihatan diri, mereka rasa lebih segar dan bertenaga,” katanya.
Menurutnya, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan grup di platform media sosial seperti Facebook atau WhatsApp untuk sama-sama melakukan aktiviti disukai seperti grup usrah dan sebagainya.
Fauziah berkata, apa yang lebih penting untuk memastikan diri tidak tertekan, seseorang itu perlu selalu berfikiran positif kerana minda adalah apa yang kita fikirkan.
“Apabila bangun tidur setiap hari, rancang program yang hendak dilakukan, pastikan sentiasa ada aktiviti dan elakkan mencapai telefon bimbit untuk melayan isu-isu serta hantaran di media sosial berkaitan PKP atau Covid-19 yang belum pasti kesahihannya,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!