'Musuh tidak nampak lebih bahaya'

Pasukan 12 Briged bersama anggota polis melaksanakan sekatan jalan raya dalam operasi PKP di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pasukan 12 Briged bersama anggota polis melaksanakan sekatan jalan raya dalam operasi PKP di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara pasukan barisan hadapan yang turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) daripada terus tersebar.

Kesiapsiagaan pasukan dalam memerangi situasi ini sebenarnya lebih berat berbanding menghadapi 'musuh' yang nyata diketahui keberadaannya berbanding menghadapi wabak berbahaya ini yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kuat.

Panglima 12 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata, peperangan kali ini merupakan perkara yang lebih berisiko apabila pihaknya berdepan dengan musuh yang tidak wujud dalam situasi nyata tetapi ia berkemungkinan berada di mana sahaja.

Semasa bertugas, beliau sentiasa memastikan anggotanya perlu mematuhi jarak sosial antara satu sama lain dalam usaha bagi memastikan keadaan anggota pasukan sentiasa sihat semasa dan sebelum bertugas.

“Kita mesti tentukan anggota benar-benar sihat ketika berada di lapangan terutama dalam situasi Covid-19 ini dan bagi menentukan kesihatan setiap seorang dari anggotanya, pemeriksaan suhu badan dilakukan hampir setiap masa iaitu sebelum dan selepas tugasan.

"Usaha ini penting dan jika pasukan berada dalam keadaan sihat maka dengan tidak langsung anggota dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Maka apabila tugasan berjalan dengan baik, kita juga dapat mencapai tahap kepatuhan rakyat yang maksimum," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Kem Wardieburn, Setapak di sini baru-baru ini.

Tiba masa ubah minda

Sebagai antara pasukan utama bersama pelbagai agensi lain dalam mengekang wabak bahaya itu, beliau berharap minda setiap anggota juga perlu berubah dan bersedia dari pelbagai aspek bagi memikul tugas pada masa ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Marzuki berkata, untuk tugasan kali ini yang dilaksanakan di lapangan bagi sekatan jalan raya (SJR) merangkumi dua kawasan termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, terkini pihaknya menempatkan hampir 1,263 anggota yang merangkumi 35 orang pegawai dan selebihnya anggota di kawasan yang ditetapkan.

Jumlah penugasan itu juga melibatkan anggota di 57 kawasan SJR serta termasuk yang bertugas di bilik gerakan dengan tiga giliran dalam masa 24 jam setiap hari.

"Dua pasukan dipertanggungjawabkan dalam misi ini di bawah seliaan saya iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD).

"Masing-masing ditempatkan di dua kawasan iaitu satu pasukan menjalankan penugasan di Dang Wangi, Wangsa Maju serta Sentul dan satu lagi pasukan ditempatkan di Putrajaya, Cheras dan Brickfields.

Marzuki Mokhtar - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Marzuki Mokhtar - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

"Setakat ini kita bertugas bagi membantu PDRM membuat rondaan dan sekatan jalan raya. Dalam usaha memastikan rakyat mematuhi tempoh PKP ini kita juga turut memberi bantuan melalui siaraya dan hebahan. Pelaksanaan ini dijalankan di dua lokasi jagaan saya iaitu sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya," kata beliau.

Tahap pematuhan PKP meningkat

Marzuki berkata, pemahaman rakyat berhubung pematuhan pewartaan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memperlihatkan trend yang baik.

Ini terbukti melalui pemantauan pihaknya apabila kenderaan dilihat semakin berkurangan di jalan raya pada satu-satu masa

Menurutnya, orang ramai sudah mula memahami mengapa kerajaan laksanakan PKP dan tujuan sebenar kerajaan melakukan perintah itu adalah untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 dan berharap tujuan itu tercapai.

Marzuki berkata, anggota pasukannya tidak mempunyai sebarang masalah bertugas dalam situasi itu kerana mereka mengikut tiga amalan utama dalam pasukan iaitu 'Walk The Talk', 'Walk On The Ground' dan 'Walk Together'.

Beliau berkata, kerjasama dengan pihak PDRM melalui perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim juga agak baik dan berjalan lancar dalam tempoh ini.

Menurut beliau, melalui hubungan yang rapat ini juga, ia mampu menutup mulut sesetengah pihak mengenai berita tular yang tersebar sebelum ini kononnya tentera 'bersikap kasar' dan terlibat dalam kes pukul orang ketika tempoh PKP.

"Ini merupakan satu perkara yang perlu diambil serius kerana ia tidak benar sama sekali gus mencemar imej pasukan dan laporan polis telah dibuat berhubung isu iini," kata beliau.

Marzuki berkata, perkara itu sebenarnya hanya 'dimomokkan' pihak yang sengaja mengundang isu dan tidak bersyukur dalam usaha pihak berkuasa melaksanakan tugas ketika PKP bagi mengekang penularan wabak bahaya itu.

Menurut beliau lagi, apa yang pihaknya mahu laksanakan adalah menjalankan tugas dengan berhemah demi menjayakan hasrat kerajaan.

"Kita amat yakin anggota pasukan mampu laksanakan tugas dan kita jalankan proses yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan memeriksa suhu badan setiap anggota kita ketika dan sebelum pelaksanaan tugasan serta memastikan keselamatan mereka apabila pulang ke rumah ketika bertemu keluarga.

"Apa yang menggembirakan saya juga adalah penerimaan positif dari keluarga anggota pasukan kita juga terutama isteri amat kita hargai dan mereka sanggup melepaskan suami yang juga ketua keluarga demi menjayakan misi kerajaan ini dan ia merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai," katanya.

Muhasabah diri

Marzuki berkata, masyarakat juga perlu melihat dari sudut positif bahawa tempoh PKP walaupun pada satu sudut sebelum ini menjadi isu yang mengundang pelbagai persepsi namun ia juga mempunyai hikmah tersendiri.

"Apa yang saya dapat lihat juga, apabila dalam tempoh ini ramai pihak yang dahulunya banyak masa bekerja di luar dan tidak dapat bersama keluarga akhirnya berkumpul bersama di samping mengeratkan hubungan mereka dan juga kini lebih mengutamakan tabungan untuk masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, apapun rakyat perlu bermuhasabah diri dalam usaha memastikan wabak itu dapat dikekang dan kesejahteraan malah kehamonian di Malaysia dapat dikembalikan.

"Kita berdoa agar perkara ini tidak berpanjangan bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia dan berusaha memastikan rakyat selamat dan kepatuhan mereka terhadap tempoh PKP dilaksanakan di negara kita ini meningkat dari semasa ke semasa.

Seorang anggota tentera melalui alat virus buster yang dihasilkan hasil inovasi pihak 12 Briged dalam usaha membasmi wabak Covid-19. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Seorang anggota tentera melalui alat virus buster yang dihasilkan hasil inovasi pihak 12 Briged dalam usaha membasmi wabak Covid-19. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

"Dalam fasa pertama PKP sebelum ini bermula sejak 18 Mac hingga 31 Mac, kita nampak peningkatan kepatuhan rakyat," katanya lagi.

Beliau berkata, biarpun masih terdapat kekangan dan ada pihak yang ingkar namun tahap kepatuhan rakyat terhadap PKP juga sudah mula menunjukkan peningkatan dan ramai yang sudah memahami berhubung perwartaan larangan berada di luar rumah itu adalah usaha kerajaan elak wabak Covid-19 terus menular.

"Kita harap peningkatan pemahaman rakyat tentang bahayanya wabak itu akan bertambah dan kita pasti ia akan berjaya apabila melalui pemantauan dilakukan kita juga telah mendapati jumlah kenderaan di jalan raya juga mula berkurangan.

"Diharap keyakinan kita bagi melihat peningkatan kepatuhan rakyat dalam fasa kedua PKP ini yang bermula 1 April hingga 14 April ini akan tercapai dan kita sama-sama jayakan demi kebaikan semua pihak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!