Botak Chin tak takut mati
SEBUT sahaja nama Botak Chin, ramai yang beranggapan pemilik nama itu seorang yang berkepala botak dan mempunyai rupa paras bengis. Tambahan pula, nama individu itu termasuk dalam senarai penjenayah yang pernah menggemparkan negara kerana keganasan kejam yang dilakukannya.
Ramai yang tidak tahu nama sebenar Botak Chin adalah Wong Swee Chin. Dia dilahirkan pada 1951 di Kuala Lumpur dan mempunyai 10 orang adik-beradik. Botak Chin mendapat pendidikan rendah di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina) di Sentul sebelum menyambung pelajaran di sebuah sekolah menengah Inggeris, dia hanya belajar sehingga usia 15 tahun sebelum berhenti.
Dalam usia yang masih mentah, Botak Chin mengambil upah sebagai pembantu di pasar borong di Jalan Tun Ismail selama setahun dan ketika itu pergaulannya bertambah luas. Walaupun cuba menjalani kehidupan biasa, Botak Chin pernah dibelasah oleh ahli kongsi gelap gara-gara tidak mahu membayar wang perlindungan.
Peristiwa itu mengubah kelakuan dan sikapnya, dia tekad memajukan diri dan mula belajar ilmu seni mempertahankan diri, misinya adalah untuk membantu dan membela mereka yang teraniaya. Dalam masa yang sama, dia cukup berhati-hati mencari rakan yang sangat dipercayai.
Agak keterlaluan apabila Botak Chin menganggap dirinya Robin Hood moden kerana sikapnya yang sering membantu golongan miskin dan teraniaya, dia kemudian terlibat dalam sebuah kongsi gelap dalam usia belasan tahun.
Kumpulan pertamanya adalah Geng 360. Tingkah laku Botak Chin berubah setelah bergaul dengan orang yang lebih dewasa daripadanya, dia lebih matang dan berani jika dibandingkan dengan remaja seusianya.
Setelah kematian ibunya, Botak Chin semakin liar, dia lebih gemar melepak dan tidur di rumah rakan-rakannya, dia turut melakukan jenayah kecil-kecilan bersama rakannya seperti mencuri, mengugut dan sebagainya.
Seronok lakukan jenayah
Botak Chin berasa seronok dengan aktiviti jenayah itu, dia mula merangka untuk melakukan jenayah yang lebih besar dengan menggunakan senjata api.
Pada 19 April 1969, Botak Chin melakukan rompakan bersenjata pertamanya bersama tiga rakannya. Sungguhpun Botak Chin tidak mempunyai senjata sendiri, rompakan itu berjalan lancar kerana dua rakannnya memiliki pistol.
Botak Chin kemudian berhasrat untuk menubuhkan kumpulan sendiri setelah dia memperoleh senjata pertamanya iaitu pistol 22 revolver. Dia tidak mahu berada di bawah orang lagi dan mahu bergerak bebas.
Percubaannya itu berjaya mengumpul beberapa lagi rakan lain menyertai kumpulan baharu itu. Botak Chin juga meletakkan beberapa syarat dan peraturan yang mesti dipatuhi sama seperti kumpulan kongsi gelap lain.
Ahli kumpulan Botak Chin tidak dibenarkan mengambil dadah dan menganiaya orang miskin, walaupun nampak ‘baik’ dia tidak teragak-agak untuk membunuh ahlinya sendiri yang melanggar syarat dan derhaka.
Botak Chin semakin aktif dan bebas melakukan jenayah, dia melakukan lapan rompakan dalan tempoh beberapa bulan sahaja selepas penubuhan kumpulan itu.
Kekerapan kumpulan itu melakukan jenayah menyebabkan polis menyiasat kes itu dengan lebih agresif dan teliti. Maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengenalpasti Botak Chin adalah dalangnya.
Polis menunggu masa yang sesuai untuk memberkas Botak Chin dan konco-konconya, jika tidak dihalang lebih banyak lagi jenayah berat akan dilakukan oleh kumpulan itu dan secara tidak langsung ia akan mengganggu keselamatan awam.
Botak Chin ditangkap
Polis berjaya menjejaki dan menumpaskan kumpulan itu, Botak Chin akhirnya ditangkap dan seterusnya menyaksikan kumpulan yang baharu ditubuhkannya terkubur begitu sahaja.
Berdasarkan kepada maklumat dan bukti kesalahan yang dilakukan, Botak Chin tidak terlepas daripada hukuman atas jenayah yang dilakukannya, dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Botak Chin dibebaskan daripada penjara pada tahun 1974, dia cuba mengubah kehidupan seperti orang lain dan tidak mahu terjebak dalam dunia jenayah. Kesungguhan awalnya dilihat dengan sanggup bekerja sebagai penjual sayur.
Bagaimanapun, kesungguhan itu tidak bertahan lama kerana Botak Chin tidak sanggup hidup dalam kesempitan dan kekurangan wang, keinginannya untuk mendapatkan kekayaan dengan cepat dan pantas sukar dibendung
Botak Chin kemudian sekali lagi mengumpul ahli-ahli yang boleh dipercayai. Pada April 1975, ahli kumpulan pertama yang ditubuhnya iaitu Teh Bok Lay (Seh Chai), Ng Cheng Wong (Ah Wong) dan Beh Kok Chin (Pangkor Chai) telah bebas dari penjara.
Langkah pertama Botak Chin adalah mendapatkan senjata api bagi menjayakan segala perancangannya yang dirangka. Sebulan kemudian, dia telah ke Thailand untuk urusan mendapatkan senjata api melalui bantuan seorang rakannya.
Setelah beroleh senjata, Botak Chin tidak menunggu lama apabila membuat rompakan di sebuah pusat perjudian haram di Sentul pada 2 Jun 1975. Mereka berjaya memperoleh hasil sebanyak RM5,800. Hasil rompakan pertama itu disimpan, diagih-agihkan atau digunakan untuk bersuka ria.
Botak Chin mempunyai perancangan yang lebih besar dan dia memerlukan wang untuk menjayakannya. Duit rompakan itu juga digunakan untuk membeli lebih banyak senjata api, Botak Chin sekali lagi pergi ke Thailand untuk membeli lapan senjata api.
Pembelian senjata api berkenaan menjadikan penjenayah itu menambah 11 koleksi senjata selain memiliki 100 butir peluru.
Sebagai langkah persediaan dalam memahirkan diri menggunakan senjata itu, Botak Chin menjadikan satu kawasan lombong sebagai lapangan untuk berlatih, dia menjadikan anjing-anjing liar di kawasan itu sebagai sasaran tembakannya.
Serang kereta pegawai polis
Pada 20 Julai 1975, kumpulan penjenayah itu melakukan satu rompakan bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Mereka melarikan RM95,000, jumlah itu kemudian dibahagikan kepada ahlinya sebanyak RM25,000 seorang.
Belum reda kes rompakan bank, Botak Chin melakukan rompakan di sebuah rumah ibadat di Jalan Kolam Ayer sebagai sasarannya. Kumpulan itu hanya merompak beberapa pemain mahjung dan bukan keseluruhan orang ramai yang berada di situ.
Kumpulan penjenayah itu melarikan wang tunai sebanyak RM10,000, barang kemas dan beberapa barangan berharga. Pihak polis mempergiatkan lagi operasi memburunya. Dalam usaha membanteras kumpulan itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur pada ketika itu, Deputi Superintendan S Kulasingam diberi tanggungjawab mengetuai pasukan untuk memburu Botak Chin.
Botak Chin menjadikan Kulasingam sebagai sasaran apabila kumpulan itu melepaskan 18 das tembakan ke kereta pegawai polis yang berhenti di lampu isyarat Jalan Davis- Jalan Pekeliling pada 22 November 1975.
Kulasingam terselamat daripada serangan itu apabila terus memandu ke Balai Polis Cheras yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian. Pegawai polis itu cedera ringan akibat terkena satu das tembakan.
Serah diri
Pemburuan Botak Chin sampai kemuncak apabila polis mengesan kumpulan itu di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Pada malam 16 Februari 1976, polis mengepung kawasan itu sebelum kemunculan Botak Chin.
Sebuah kereta Mazda yang dinaiki tiga lelaki termasuk Botak Chin yang bersenjata api dan bom tangan tiba di kilang itu. Beberapa pengikutnya berkawal di luar kilang manakala Botak Chin, Pangkor Chai dan Hiew Foo Khen (Ah Keong) berada di dalam pejabat.
Empat pasukan menggempur masuk ke kawasan kilang menyebabkan pertempuran antara polis dan kumpulan penjenayah itu meletus. Pasukan polis melepaskan kira-kira 500 tembakan selain menggunakan gas pemedih mata.
Pangkor Chai dan Ah Keong maut dalam kejadian itu manakala Botak Chin cedera terkena tembakan di kaki dan tangan kanannya.
Botak Chin akhirnya menyerah diri kepada polis. Dia ditahan selama setahun dan menjadi tertuduh pertama mengaku bersalah atas dakwaan memiliki senjata api dan peluru mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa hukuman mati mandatori.
Botak Chin ada membuat rayuan hingga ke peringkat Privy Council dan dia dibicarakan semula pada 1 April 1980. Namun Botak Chin tetap didapati bersalah pada 16 Mei 1980. Rayuannya yang dibuat di Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan juga ditolak.
Pada waktu Subuh 11 Jun 1981, Botak Chin dihukum gantung di Penjara Pudu pada usia 28 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!