Permohonan insentif khas RM500 penjaja, peniaga kecil, 8 April ini
SHAH ALAM - Permohonan bantuan insentif khas RM500 ditawar kerajaan Selangor kepada penjaja dan peniaga kecil berlesen di negeri ini akan mula dibuka 8 April ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan di Facebooknya, memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40 juta bantuan khas kepada penjaja dan peniaga kecil menerusi Pakej Selangor Prihatin Covid-19 fasa pertama.
Menurutnya, permohonan insentif itu boleh dibuat menerusi laman sesawang www.selangorprihatin.com dan pembayaran akan dibuat secara one-off.
“Insentif khas ini untuk penjaja dan peniaga kecil yang memiliki lesen serta permit sah tahun 2020 di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor yang diluluskan sehingga 20 Mac 2020.
“Penjaja dan peniaga kecil hanya layak memohon sekali bantuan walaupun mempunyai lebih daripada satu lesen atau permit daripada PBT yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, permohonan dibuka dalam tempoh 30 hari bermula 8 April, setiap permohonan menggunakan nombor kad pengenalan.
Amirudin berkata, sekiranya maklumat diperlukan lengkap, bayaran insentif tersebut akan disalur terus ke akaun bank pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan dibuat.
“Pertanyaan mengenai isu sistem permohonan boleh dibuat dengan menghubungi talian 1-800-22-6600 (24 jam) bermula 8 April ini.
“Pertanyaan berkaitan lesen dan permit pula boleh diajukan dengan menghubungi talian PBT (9 pagi hingga 4 petang) juga bermula 8 April ini,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Selangor Prihatin membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan sebanyak RM127.78 juta.
Pemberian bantuan bakal memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Skim Hijrah Selangor (Hijrah) dan rakyat.
Antara inisiatif yang diumumkan adalah sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!