Umat Islam buatlah wasiat awal!
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menasihatkan seluruh umat Islam di negeri ini agar dapat membuat pengurusan wasiat sebagai persediaan sebelum ditimpa musibah.
MAIS dalam satu kenyataan berkata, semua pihak perlu membuat persediaan dalam menguruskan dan merancang harta masing-masing susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Menurutnya, pengurusan itu perlu dibuat walaupun masih ada sebilangan masyarakat dilihat menggunakan alasan tiada harta untuk diwasiatkan.
"Kematian itu adalah pasti tetapi bagaimana dan bila kita mati, hanya ALLAH sahaja yang tahu,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 Mac ini dalam usaha bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negara ini.
Dalam pada itu, MAIS berkata, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga perlu diuruskan sebagai wasiat kerana penama disenaraikan bukan penerima namun hanya sebagai pentadbir harta.
“Oleh itu, orang ramai boleh mendapat khidmat nasihat wasiat pada portal www.mais.gov.my serta boleh terus mendaftar e-wasiat di laman web berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!