Pejabat PM umum penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti
PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti yang akan terus melaporkan dapatan mereka secara terus kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan kementerian, objektif utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mengurangkan jumlah hutang dan liabiliti kerajaan ke arah tahap yang lebih terurus.
Menurut kenyataan itu lagi, tempoh masa selama 18 bulan diberikan kepada jawatankuasa berkenaan untuk mencapai objektif ditetapkan.
“Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti, selaras dengan pengumuman jawatankuasa tersebut yang diumumkan di dalam Belanjawan 2019 yang lalu.
“Ahli-ahli jawatankuasa ini terdiri dari pakar-pakar dalam bidang kewangan, ekonomi dan undang-undang. Lantikan ini berkuatkuasa serta merta,’ memetik kenyataan tersebut.
Individu yang dilantik dalam jawatankuasa tersebut adalah Ketua Setiausaha Perbendaharan Kementerian Kewangan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, To’ Puan Azian Mohd Aziz.
Tiga lagi individu yang turut berada dalam jawatankuasa itu adalah Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia, Gooi Hoe Soon dan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti, Faris Rabidin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!