Penangguhan bayaran pinjaman LPPSA dibawa ke Kabinet

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Gambar kecil: Zafrul
Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Gambar kecil: Zafrul
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan penangguhan sementara bayaran balik pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, minggu depan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, banyak cadangan yang dikemukakan dan perbincangan akan dibuat bagi perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi krisis wabak Covid-19 ini.

"Semua cadangan akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan kementerian lain mengenai perkara berkaitan. Jadi tunggu pengumuman jika ada," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Gesaan mengenai penangguhan bayaran itu sebelum ini dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Pemuda UMNO kerana disifatkan wajar supaya selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan oleh institusi-institusi perbankan.

Cadangan berkenaan juga dikatakan mampu mengurangkan beban 1.7 juta penjawat awam yang menanggung peningkatan kos domestik dalam tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, Tengku Zafrul menerima sumbangan topeng muka dan ventilator daripada China Construction Bank Malaysia (CCBM) dan Beibu Gulf Holding di Kementerian Kewangan.

Turut hadir, Duta China ke Malaysia, Bai Tian; Ketua Pegawai Eksekutif CCBM, Felix Feng Qi dan Ketua Operasi dan Strategik Kewangan CCBM, Steven Wong Weng Leong.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!