Bukit Aman terima 501 kes penipuan penjualan topeng muka

Mohd Zakaria
Mohd Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 501 kes penipuan penjualan topeng muka dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga semalam melibatkan jumlah kerugian lebih RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, seramai 39 individu termasuk 10 wanita tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat penipuan jualan topeng muka di media sosial.

"22 pertuduhan dari 39 tangkapan telah dibuat sejak Januari lalu sehingga semalam," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek menggunakan modus operandi mengiklankan penjualan topeng muka menerusi media sosial dan urusan melalui aplikasi WhatApp.

"Selepas pembeli membuat bayaran, suspek akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

“Kebanyakan gambar-gambar topeng muka yang dimuat naik oleh penjenayah di dalam iklan media sosial sebenarnya diambil dari internet, bukannya gambar sebenar topeng muka yang hendak dijual,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga memberikan nombor pengesan penghantaran barangan bagi mengaburi pembeli.

“Sebenarnya nombor pengesan itu merupakan barangan lain dan bukan topeng muka yang dihantar kepada mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zakaria berkata, pihaknya sentiasa memberi peringatan kepada orang ramai melalui pelbagai hebahan di media sosial, televisyen dan surat khabar bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan menerusi portal ‘Semakmule’ dan status penjual dalam talian di laman web http://biztrust.ssm.com.my sebelum membuat sebarang pembelian,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membenarkan mana-mana individu mengakses kemudahan perbankan peribadi dan tidak terburu-buru melakukan pembelian.

"Orang ramai boleh menghubungi Infoline JSJK di talian 013-2111222 bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!