Aktifkan diri kekal positif
SHAH ALAM - Tidak susah untuk kekal positif jika kita benar-benar berkemahuan untuk melakukannya sepanjang menghadapi tempoh kritikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua bagi menyekat wabak koronavirus (Covid-19).
Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Madeline Berma berkata, perkara paling penting ialah dengan menjadikan diri sentiasa aktif secara fizikal, sosial, intelektual termasuk emosi.
Beliau berkata, aktif secara fizikal mungkin dengan melakukan kerja rumah atau beriadah di samping memanfaatkan waktu yang ada untuk mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga.
Menurutnya, bercakap mengeni intelektual, rakyat Malaysia boleh menggunakan peluang PKP ini untuk belajar dan meningkatkan ilmu serta kemahiran baharu.
"Selain itu, aspek emosi juga harus diperkuatkan dari segi kerohanian atau dengan membaca bahan-bahan yang bermotivasi atau positif.
"Dengan dorongan seperti itu mampu menjadikan diri kita bukan sahaja lebih positif tetapi berinovatif serta menghargai mereka terutama barisan 'frontliners' kita....kita boleh tulis ucapan penghargaan serta perkongsian yang positif dalam media sosial untuk mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam perkembangan sama, Madeline turut menasihatkan golongan yang terkesan sehingga kehilangan sumber pendapatan atau kehilangan kerja untuk tidak lemah semangat dan berputus asa.
"Bangkit kerana anda perlu mengawal situasi dan berusaha mencari jalan keluar, bukan hanya berserah.
"Selain itu, untuk mengelakkan rasa jemu, pastikan kita sentiasa berhubung dengan dunia luar melalui teknologi...boleh bermesyuarat, diskusi atau bertanya khabar di atas talian.
"Kekalkan aktiviti harian hanya dengan menggunakan teknologi," katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh PKP beliau sendiri banyak melakukan kerja dengan bermesyuarat atas talian dan berkongsi maklumat serta ilmu pengetahuan menerusi media sosial, media arus perdana serta dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk dimanfaatkan khalayak ramai.
"Saya berhubung dengan keluarga lain melalui melalui telefon kerana saya tinggal di Semenanjung,"katanya.
Madeline berkata, daripada semua yang disebutkan, rakyat Malaysia juga mempunyai pilihan jika mereka suka melakukan kerja amal dengan menjadi sukarelawan membantu mereka yang sangat memerlukan dan tidak berkeupayaan.
Menurutnya, dengan membantu orang lain, seseorang itu dapat memupuk dan menanam nilai murni yang lebih baik dalam diri.
Dalam pada itu, Madeline berkongsi beliau gemar memasak apabila ada masa terluang sepanjang PKP ini.
"Terapi diri juga...dapat masak dan makan apa yang kita suka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!