Kes tipu jual topeng muka babitkan kerugian RM3.5 juta
KUALA LUMPUR - Sebanyak 501 kes penipuan melibatkan penjualan topeng muka dilaporkan di seluruh negara setakat semalam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah kerugian lebih RM3.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, seramai 37 individu warga tempatan berumur antara 21 hingga 45 tahun ditahan dengan 22 orang daripadanya telah dituduh di mahkamah.
“Hasil siasatan mendapati antara modus operandi yang digunakan adalah suspek mengiklankan topeng muka melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain sebelum berhubung dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan kemudian memberikan akaun bank (keldai akaun) untuk pembayaran.
“Selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi serta akses media sosial disekat dan penghantaran topeng muka tidak dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di sini hari ini.
Mohd Zakaria berkata, sebanyak 556 kes penipuan penjualan penutup hidung dan mulut direkodkan dari Januari sehingga semalam dengan 401 kes membabitkan penipuan di laman Facebook diikuti 65 kes menerusi aplikasi WhatsApp, Mudah.my (27), WeChat dan Instagram masing-masing 16 kes, Shopee (10), telefon bimbit (8), Carousell dan Google masing-masing lima kes serta tiga kes bersemuka.
Menurut beliau, Kuala Lumpur mencatat kes tertinggi dengan 64 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian lebih RM1.4 juta diikuti Selangor 119 kes (RM940,116) dan Pulau Pinang 55 kes (RM438,098).
Kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya turut menasihati orang ramai agar membuat semakan menerusi portal ‘Semakmule’ dan status penjual dalam talian di laman web http://biztrust.ssm.com.my sebelum membuat sebarang pembelian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, setakat ini PDRM tidak menerima laporan berhubung penipuan yang membabitkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, sebelum ini tular mesej yang dihantar melalui SMS meminta penerima BPN mengemukakan maklumat perbankan termasuk nama bank, nombor akaun, identiti peribadi dan kata laluan kononnya bagi tujuan kemaskini.
“Pemantauan mendapati tiada lagi kes membabitkan perkara ini tetapi masyarakat perlu berhati-hati dan tidak berurusan dengan individu yang mewakili kelompok atau persatuan...jangan beri sebarang data yang boleh dimanipulasi oleh penipu (scammer).
“Kita sedang kesan perkara ini menerusi polis bahagian Jenayah Siber dan Multimedia daripada mana puncanya dan ambil tindakan tegas supaya rakyat tidak dimanipulasi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!