Geng curi motosikal ditahan
KAPAR – Kegiatan tiga rakan termasuk dua remaja melakukan jenayah curi motosikal sejak lima bulan lalu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan.
Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, Kesemua suspek berusia 15 hingga 20 tahun itu ditahan bermula Sabtu dan Ahad lalu.
Menurut beliau, suspek pertama ditahan ketika anggota cegah jenayah dari Balai Polis Sungai Kapar melakukan rondaan dan mengesan seorang lelaki duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna biru dalam keadaan mencurigakan jam 11.50 malam, Sabtu lalu di Taman Meru Ria, di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap motosikal terbabit mendapati tidak mempunyai nombor pendaftaran di bahagian depan dan belakang.
“Motosikal itu dilaporkan hilang di Kelana Jaya dan hasil soal siasat terhadap suspek membawa penahanan dua lagi suspek yang juga remaja berusia 15 dan 16 tahun," katanya, hari ini.
Nurulhuda berkata, dua remaja yang masih bersekolah ditahan antara jam 12.45 pagi dan 1.25 pagi kelmarin di Cempaka Sari Batu 4, Jalan Kapar dan Jalan Haji Othman Baru, Kampung Rantau Panjang Batu 3, di sini.
“Suspek menunjukkan dua rangka motosikal yang diletakkan dalam semak dan kita mendapati ia berkait kes kecurian motosikal di Meru,” katanya.
Ujar beliau lagi, kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak September tahun lalu dengan menggunakan alat khas untuk buka tempat kunci motosikal sebagi modus operandi.
“Suspek berusia 20 dan 16 dipercayai melakukan tinjauan dan curi sementara seorang lagi suspek berusia 15 tahun meleraikan motosikal yang telah dicuri.
“Kesemua suspek direman empat bermula Ahad lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!