Tular jumpa duit: Mufti nasihat serah duit pada Baitulmal

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menasihatkan individu yang menemui duit tanpa pemilik di dalam bungkusan bundle semalam untuk menyerahkannya kepada Baitulmal.

Menurutnya, tidak kira berapa jumlahnya, namun jika wang tersebut ditemui tanpa pemilik atau tidak dituntut pemiliknya, maka kita seharusnya bertanggungjawab untuk menyerahkannya kepada pihak berkaitan bagi urusan selanjutnya.

"Tidak kira di mana kita jumpa duit tersebut, kecil atau besar, semuanya perlu diserahkan kepada jabatan agama jika ia tidak dituntut. Tapi perlu cari tuannya dulu, sekiranya tidak ada baru serah kepada mereka yang ada autoriti.

"Jika di Kelantan, wang berkenaan perlu diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diuruskan," katanya.

Beliau mengulas kes tular seorang peniaga barangan bundle yang menemui wang tunai 550,000 yen iaitu lebih RM20,000 semasa membuka barangan yang dibelinya.

Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, menjumpai wang tersebut yang berada di dalam beg duit dalam salah satu kot dalam bungkusan guni yang dibelinya di Wakaf Bharu.

Mohamad Shukri juga menegaskan sesiapa sahaja yang menemui duit tersebut tidak boleh menggunakannya kerana ia bukan hak miliknya, selain ia juga tidak boleh digunakan untuk urusan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!