Aliran masuk rakyat Malaysia dari Singapura dijangka bertambah

A
A
A
JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menjangkakan aliran masuk rakyat Malaysia dari Singapura ke negara ini akan bertambah dalam tempoh dua minggu ini ekoran keputusan Singapura untuk menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan sebagai sebahagian daripada langkah ketat mengekang penularan Covid-19.

Pengarahnya Baharuddin Tahir berkata,pihaknya sentiasa bersedia untuk menerima kepulangan rakyat Malaysia yang berada di republik berkenaan dan sehingga kini semua pintu masuk ke negeri ini beroperasi seperti biasa.

"Jangkaan kami (Jabatan Imigresen Johor) berlaku kemasukan lebih banyak rakyat Malaysia mulai 1 April hingga 14 April ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua) berbanding tempoh 18 Mac hingga 31 Mac lalu (PKP fasa pertama).

"Ini disebabkan oleh beberapa kekangan seperti perintah atau larangan yang lebih ketat di Singapura khususnya bagi rakyat Malaysia yang bekerja di sana,” katanya yang dihubungi hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung menegaskan negara itu memutuskan melaksanakan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat selama sebulan bagi membendung penularan Covid-19 yang kian meningkat di republik itu.

Menurut Hsien Loong, Singapura akan menutup sebahagian besar tempat kerja, sekolah dan prasekolah selama sebulan mulai Selasa ini (7 April) tetapi perkhidmatan penting seperti pasar dan pasar raya, tempat makan dan pengangkutan awam akan terus dibuka.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan berdekatan Tambak Johor, di sini, mendapati terdapat sebilangan kecil rakyat Malaysia mula pulang ke bandar raya ini dengan berjalan kaki dari Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Pelajar jurusan Pemasaran Digital di sebuah kolej di Wilkie Road, Singapura, Hubert Teo Jun Wei, 19, berkata, beliau mengambil keputusan untuk pulang selaras keputusan kerajaan Singapura, semalam, dan akan melakukan kuarantin sendiri di rumah.

“Lebih baik saya pulang ke rumah segera, saya bukan takut tetapi harus berhati-hati. Dalam masa sama, saya akan mengambil tahu perkembangan semasa dari rumah sahaja,” katanya yang tinggal di Taman Megah Ria dekat Masai di sini.
Artikel Berkaitan:


Hubert yang melanjutkan pengajian selama setahun di negara berkenaan menjelaskan beliau mengambil masa kira-kira 20 minit berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor untuk sampai ke BSI.

Bagi seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebuah restoran di Tampines, Singapura, Syafika Mohamad, 25, berkata, beliau akan berbincang dengan pihak majikan hari ini sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mahu kembali ke negara ini atau sebaliknya.

“Berita ini (peraturan menutup sebahagian besar tempat kerja) baru sahaja diumum semalam. Walaupun restoran saya bekerja tidak ditutup kerana merupakan perkhidmatan penting, tetapi kami semua (pekerja) akan berbincang dengan majikan hari ini berhubung perkara ini,” katanya yang bekerja di restoran berkenaan sejak tiga bulan lepas.

Berbeza dengan seorang pekerja perkhidmatan pembersihan, Abdul Rauf Abd Hamid, 27, yang menyifatkan keputusannya untuk mengikut gerak hati pulang ke bandar raya ini beberapa hari lepas, sebagai tepat pada masanya.

"Saya baru sampai di sini (Johor Bahru) 1 April lepas kerana keluarga meminta saya balik memandangkan mereka risau keadaan saya. Saya tidak sangka Perdana Menteri Singapura akan buat pengumuman semalam, mujurlah, saya sudah pulang,” katanya yang sedang dalam proses kuarantin di rumah dan merancang untuk mencari sumber pendapatan lain di bandar raya ini selepas tempoh PKP berakhir.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!