Menangani dua krisis serentak

A
A
A

KALAU kita umpamakan ekonomi dunia dan ekonomi negara kita seperti telur di hujung tanduk maka adalah tidak mustahil yang telur itu telah jatuh ke bumi. Yang belum pasti hanya sama ada ia pecah atau tidak dan kalau pecah masih boleh diselamatkan atau tidak.

Ramalan mengatakan ekonomi dunia sudahpun mula mengalami kemelesetan di mana nilai telah menguncup menjadi semakin kecil. Kemelesetan adalah apabila pertumbuhan ekonomi yang diukur mengikut Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) jatuh secara berterusan untuk beberapa bulan.

Kita pernah mengalami beberapa kali kemelesetan sejak merdeka 62 tahun lalu antaranya pada tahun 1985, 1998 dan 2009.

Dalam kemelesetan tahun 2009, KDNK negara kita menguncup 2.9 peratus berbanding Amerika Syarikat yang kecut 3.6 peratus. Dalam bahasa yang mudah, daripada KDNK yang bernilai RM100 ia jatuh menjadi RM97.10.

Puncanya adalah krisis hutang subprime yang berlaku di Amerika Syarikat dan merebak ke seluruh dunia.

Seminggu lalu, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata, ekonomi dunia 'sudah pun berada dalam kemelesetan'.

Berapa lama dan betapa teruk kemelesetan itu, katanya, bergantung kepada kejayaan menyekat Covid-19 serta tindak balas yang berkesan dan bersepadu bagi menangani krisis ini.

Menurut Georgieva, semua negara perlu menggunakan apa saja senjata yang ada padanya bagi memerangi pandemik Covid-19 dan merangsangkan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Apakah jawapan kita kepada krisis ekonomi ini? Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, dua pakej rangsangan diperkenalkan oleh dua kerajaan berlainan.

Pada 27 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentangkan pakej bernilai RM20 billion.

Pada 3 April pula, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), memperkenalkan pakej baru bernilai RM250 bilion yang turut merangkumi peruntukan pakej pertama.

Beberapa matlamat ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan PH masih praktikal dan boleh dilaksanakan kerana sebahagian anggota Kabinet kerajaan PN sekarang terlibat dalam penggubalan dasar ekonomi ketika menganggotai kerajaan PH.

Misalnya, matlamat memperkukuhkan pertanian, khususnya pengeluaran makanan, memperluaskan industri peralatan perubatan, penerbangan awam dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dasar dan program berkaitan industri penerbangan wajib diteruskan walaupun buat masa ini sektor itu terjejas dengan teruk akibat sekatan perjalanan dalam negara dan antarabangsa.

Boleh dikatakan semua syarikat penerbangan di dunia memerlukan bantuan untuk bangkit semula.

Kita wajar mengambil kesempatan ini bagi menyelesaikan sekali gus masalah yang dihadapi oleh semua syarikat penerbangan utama kita. Emosi dan nasionalisme sempit perlu diketepikan.

Apabila industri penerbangan bangkit semula, mereka pasti akan mencari tempat yang lebih murah tetapi berkualiti untuk menyelenggara dan memperbaiki pesawat mereka serta kemudahan logistik yang bersangkutan.

Kita wajib mengambil kesempatan daripada dua krisis ini, Covid-19 dan perang dagang Amerika-China, bagi memperkukuhkan asas dan kepakaran ekonomi kita.

Kita wajib berfikiran positif bagi menangani keadaan yang sukar dan mencabar sekarang. Ini bukanlah kali pertama kita mengalami kemelesetan ekonomi.

Yang perlu kita utamakan ialah kita berjaya keluar daripada semua kemelut sebelum ini dan tidak ada sebab kita tidak boleh mengulanginya kali ini.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!