Hikmah di sebalik kesempitan
“IT'S figuring us out faster than we’re figuring it out!” ujar watak Dr Alex Hextall, seorang pakar virus menerusi filem Contagion pada 2011 yang mengisahkan bagaimana seorang wanita dijangkiti virus MEV-1 yang telah menyebabkan jangkitan pada skala besar sehingga mengakibatkan banyak negara diletakkan dalam situasi kuarantin.
Petikan dialog itu juga mirip menggambarkan betapa pantasnya penularan wabak Covid-19 melanda dunia sehingga menghumban kita ke satu situasi yang tidak terjangkau pun oleh fikiran kita.
Penularan pandemik Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang mudah buat kita semua. Saya memuji langkah kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mengawal penyebaran wabak serta memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang seterusnya dapat meratakan lengkungan penularan wabak itu.
Tidak dinafikan, segenap lapisan masyarakat kita terkesan dek penangan PKP. Namun apa yang lebih membimbangkan, PKP ini bakal mencetuskan impak secara jangka panjang terhadap sosial dan juga kesan psikologikal terhadap sebilangan rakyat Malaysia.
Kesan
Statistik mengenai kesan psikologikal ini telahpun dilakukan di China dengan kajian dalam talian melibatkan seramai 1,210 responden dari 194 bandar di China, Kajian itu mendapati sebanyak 16.5 peratus responden dilaporkan mengalami gejala kemurungan, 28.8 peratus mempunyai gejala gemuruh, 8.1peratus dilaporkan berada dalam keadaan stres, dengan 53.8 peratus keseluruhan responden mengklasifikasikan impak psikologikal yang dihidapi mereka pada skala sederhana sehingga teruk.
Sebanyak 84.7 peratus responden kajian terbabit juga mengakui mereka menghabiskan sekitar 20-24 jam setiap hari di rumah dan hampir 75.2 peratus responden menyatakan kebimbangan mereka terhadap ahli keluarga lain yang dijangkiti wabak.
Penguatkuasaan PKP ini membuka mata kita untuk bersikap lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dan tidak mengambil mudah tentang semua perkara. PKP menjadikan kita lebih beretika bagi meningkatkan kebersihan serta kesihatan diri dan keluarga. PKP telah mengembalikan masa berkualiti yang hilang bersama ahli keluarga. PKP dalam masa sama telah membentuk semula norma masyarakat yang kian beransur hilang.
Berbekalkan peranti mudah alih dan perkhidmatan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya, sebilangan ahli masyarakat kini kembali menjadi manusia normal dengan bertanya khabar sesama ahli keluarga, rakan-rakan mahupun jiran tetangga. Kerukunan dalam institusi kemasyarakatan merupakan suntikan yang diperlukan untuk kita menempuhi detik mencabar seperti sekarang.
PKP adalah waktu untuk kita bersatu hati. Melalui PKP juga, ini adalah masa untuk seluruh masyarakat merentasi kaum dan agama, mengukuhkan panji perpaduan, mengekspresikan rasa empati dengan penzahiran rasa hormat kepada barisan hadapan negara yang berjuang memerangi wabak Covid-19.
Kita berterima kasih kepada para doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan kepada mereka yang dijangkiti.
Kita berterima kasih kepada pihak polis dan tentera yang berpanas hujan siang dan malam mengawal pergerakan di jalanan.
Kita berterima kasih kepada para penghantar makanan seperti FoodPanda, GrabFood, Bungkusit dan sebagainya yang bermandi peluh bagi memastikan kita tidak keputusan makanan.
Kita berterima kasih kepada para wartawan yang ke hulu dan ke hilir bagi memastikan setiap rakyat mendapat infomasi yang tepat mengenai situasi semasa.
Kita berterima kasih kepada seluruh pekerja dalam sektor perkhidmatan penting atau essential services negara dari Perlis hingga ke Sabah yang terpaksa merisikokan keselamatan mereka demi keperluan serta kepentingan sejagat.
Dan, pada akhirnya kita berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang akur kepada arahan kerajaan serta #dudukrumah dan kekal tenang bagi memastikan kita benar-benar berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 ini. Berbekalkan nilai kemanusiaan yang sarat dengan rasa tanggungjawab berserta kesatuan hati merupakan azimat terkuat seluruh rakyat Malaysia untuk menewaskan musuh yang tidak kelihatan ini.
Tempoh panjang berada di rumah boleh digunakan untuk merangka strategi yang lebih ampuh untuk perniagaan atau pekerjaan kelak.”
*Senator Datuk Seri Ti Lian Ker ialah Pengerusi Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!