Dua bulan koma, akhirnya Zuriana pergi jua...

Kedua-dua suami isteri tersebut maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian 9 Februari lalu. Gambar kecil: Allahyarham Zuriana.
Kedua-dua suami isteri tersebut maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian 9 Februari lalu. Gambar kecil: Allahyarham Zuriana.
A
A
A

GEORGETOWN - Mangsa rempuhan kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk 9 Februari lalu menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya awal pagi tadi.

Zuriana Hasan, 35, dilaporkan meninggal dunia pada jam 1 pagi tadi selepas dua bulan bertarung nyawa akibat kemalangan yang turut meragut suaminya, Khairizul Mohamad Noor, 38.

Adiknya, Noorlyana, 25, berkata, jenazah arwah kakaknya dijangka akan dikebumikan di Surau Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal Butterworth hari ini selepas proses bedah siasat selesai.

Menurutnya, keluarganya reda dengan pemergian anak ketiga daripada enam beradik itu selepas parah dan berada dalam keadaan koma selepas rempuhan itu.

"Ya memang benar kakak saya sudah meninggal dunia pagi tadi. Arwah menghembuskan nafas seorang diri tanpa saudara di sisi kerana dia dirawat di Wad ICU.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami maut, isteri cedera dirempuh pemandu mabuk

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah kakak kerana tidak mahu dia menderita lagi. Terima kasih kepada semua yang membantu selama ini," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorlyana berkata, kelima-lima anak arwah kakaknya itu akan dijaga olehnya bersama kedua ibu bapanya.

"Semua anak saudara saya akan jaga walau apa pun terjadi. Mereka amanah yang perlu saya jaga tambahan pula, bapa dan ibu mereka telah meninggal dunia. Saya tidak akan sesekali menyerahkan mereka kepada mana-mana pihak walau ada yang menawarkan untuk menjaga mereka.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, semua perbelanjaan persekolahan dan harian mencukupi. Agak perit untuk saya menerangkan keadaan sebenar kepada anak-anak yang masih kecil ini bahawa ibu dan bapa mereka sudah tiada terutamanya yang masih kecil," katanya.

Tambahnya, keluarga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kereta terlibat.

"Kami memang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu tersebut. Buat masa ini, kami sedang berbincang untuk tindakan itu.

"Walaupun tindakan undang-undang itu tidak boleh mengembalikan kakak dan abang ipar saya, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak memandu ketika berada dalam pengaruh alkohol.

"Kami memang mahu si pelaku menerima balasan setimpalnya. Kerana dia, anak-anak saudara saya yang masih kecil telah menjadi yatim piatu," katanya.

Sementara itu, anak sulung kepada pasangan itu Nur Afni Nirwana,16, berkata, dia akan terus menjaga adik-adiknya dengan baik seperti yang dipesan arwah bapanya.

Dia juga menegaskan akan mengambil alih tugas menjaga adik-adiknya selepas kehilangan ibu dan bapanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi, 9 Februari lalu, seorang pekerja kilang maut manakala isterinya parah selepas motosikal mereka dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 140.2 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran susur Perai.

Khairizul disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan manakala isterinya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana kritikal selepas mengalami pendarahan di bahagian otak selain beberapa kecederaan lain.

Selain Nur Afni Nirwana, empat lagi anak pasangan itu ialah Nur Istna Nadira,14; Nur Erna Nabila,12 ; Nur Qurratu Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran, setahun sembilan bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!