Ini masanya kerajaan patut berbelanja lebih tinggi untuk pelaburan, kata Najib

Hantaran dimuat naik Najib di laman sosial Facebooknya hari ini.
Hantaran dimuat naik Najib di laman sosial Facebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempercepatkan dan memperluaskan projek-projek infrastruktur ketika harga komoditi dunia yang rendah ketika ini.

Najib berkata, antaranya seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan MRT3, Lebuhraya Pan Borneo, Projek Sistem Transit Rapid (RTS), Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dan projek-projek solar atas kolam.

“Sebab itu, saya saran kerajaan PN untuk mengambil kesempatan harga komoditi dunia yang rendah sekarang untuk mempercepatkan dan memperluaskan projek-projek infrastruktur seperti ECRL, MRT2, MRT3. LRT3, Pan Borneo Highway, RTS, HSR dan projek-projek solar atas kolam.

“Angka pertumbuhan pelaburan awam ini tidak boleh negatif. Jika pelaburan swasta negatif dan pelaburan awam juga negatif, siapa yang melabur pada tahun ini untuk menyokong ekonomi kita dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk mereka yang terjejas pada masa krisis (koronavirus) Covid-19,” kata Najib menerusi entri Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, minggu lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan ramalan ekonomi mereka untuk tahun 2020 yang mengambil kira pakej-pakej rangsangan ekonomi kerajaan PN.

Menurutnya, BNM meramalkan pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2020 ini adalah antara -2.0 peratus hingga +0.5 peratus.

Beliau yang merujuk graf ramalan dikeluarkan BNM itu berkata, ia jelas bahawa keadaan ekonomi yang sudah semakin teruk di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan menjadi lebih teruk pada tahun 2020.

“Tapi, satu perkara yang menarik perhatian saya ialah kadar pertumbuhan pelaburan awam (public investment) iaitu perbelanjaan pelaburan kerajaan bagi tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

“Sepatutnya dalam krisis ekonomi Covid-19 ini, kerajaan patut berbelanja lebih tinggi untuk pelaburan sebagai langkah untuk menyuntik dana dan merancakkan industri tempatan. Tapi ia dijangka masih pada kadar negatif pula,” katanya.

Terdahulu, BNM mengunjur ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara -2.0 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun ini susulan kesan negatif penularan Covid-19 sementara bagi pelaburan swasta ialah pada kadar -9.7 peratus serta pertumbuhan pelaburan awam pula pada kadar -7.6 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!