Tiga lagi berita palsu termasuk salah tafsir ayat al-Quran
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) mendedahkan tiga lagi berita yang tular di media sosial sebagai palsu.
Pasukan Respon Pantas kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, kebenaran video yang memaparkan keadaan daif di sebuah pusat kuarantin yang disediakan kerajaan Sabah telah dinafikan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sinar Harian difahamkan rakaman video itu sudah ditularkan melalui media sosial sejak beberapa hari lepas.
Selain itu, Pasukan Respons Pantas KKMM turut menegaskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan laporan mengenai peningkatan kes keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, peningkatan itu kononnya berdasarkan kenaikan peratusan panggilan ke Talian Kasih sebanyak 57 peratus.
"Walhal kenaikan peratusan panggilan juga merangkumi kategori lain termasuk hal berkaitan penularan pandemik koronavirus (Covid-19), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kes kaunseling dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Pasukan Respons Pantas kementerian turut mendedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan bahawa ayat 33 dari surah al-Ahzab ada kaitan dengan tiga kes kematian pada 3 April lalu dan 3,333 kes positif Covid-19.
"Berita tular itu sama sekali tidak benar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!