'Tolong henti tuduhan, hasut penduduk kampung'
TANJONG KARANG - Seorang peniaga kedai makan yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) meminta kerjasama orang ramai tidak menyebarkan maklumat bersifat tuduhan terhadapnya yang hanya menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat di sekitar Tanjong Karang.
Sukarnain Abd Rahman, 38, berkata, maklumat tersebar kononnya meminta orang ramai tidak ke pasar awam dan pasar raya di sekitar Tanjong Karang hanya mengundang keresahan kepada penduduk.
Menurutnya, orang ramai hanya perlu mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak berkuasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya kecewa apabila ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyebar maklumat di Facebook dan WhatsApp membuat pelbagai tuduhan bertujuan menghasut penduduk selepas saya disahkan positif Covid-19," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sukarnain memberitahu, dia yang mengikuti ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu disahkan negatif semasa membuat ujian saringan kali pertama di Klinik Kesihatan Sungai Kajang 9 Mac lalu.
"Saya syaki jangkitan ini bukan dialami di Sri Petaling memandangkan jarak masa iaitu 2 Mac lalu, selain dua rakan yang rapat dengan saya yang turut makan setalam dilaporkan tidak dijangkiti.
Bagaimanapun, katanya, dia sekali lagi menjalani ujian itu selepas kerajaan mengarahkan semua peserta tabligh menjalani ujian kali kedua Covid-19.
"Saya membuat ujian di KK Sungai Kajang pada 24 Mac lalu dan enam hari kemudian saya disahkan positif Covid-19," katanya.
Katanya, sehingga kini dia tidak mengalami demam, batuk, selesema dan semua gejala jangkitan.
"Saya kemudian dimasukkan ke Wad Hospital Sungai Buloh selama dua hari dan sekarang dikuarantin di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sungai Buloh," katanya.
Menurutnya, isteri dan empat anaknya yang tinggal di serumah kini menanti keputusan laporan perubatan.
"Alhamdulillah, mereka juga tiada tanda-tanda gejala dan mungkin keputusan dapat diketahui dalam waktu terdekat," katanya.
Justeru, katanya, mana-mana pihak yang ada berhubung dengannya supaya tidak panik tetapi terus mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mengelakkan penyebaran virus itu.
“Saya minta mana-mana rakan yang ada berurusan dengan saya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dengan cara betul, mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai topeng muka.
“Sekiranya ada sesiapa sama ada mereka yang bersentuhan dengan saya atau tidak, menunjukkan tanda-tanda penyakit, saya menasihati agar mendapatkan rawatan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!