Disangka 'pengsan' dijangkiti Covid-19, tapi rupa-rupanya...

Lelaki itu dipujuk petugas perubatan selepas mengetahui dia baru putus cinta. - Foto Ayo Jakarta
Lelaki itu dipujuk petugas perubatan selepas mengetahui dia baru putus cinta. - Foto Ayo Jakarta
A
A
A

MEGETAN - Akibat terkejut dan panik melihat seorang remaja terbaring di tepi sawah, penduduk kampung terus menghubungi pihak hospital kerana menyangka dia dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dalam kejadian di Magetan, Jawa Timur, Indonesia.

Namun cukup lucu kerana laporan Ayo Jakarta mengatakan, sekumpulan pasukan perubatan pergi ke lokasi kejadian bersama ambulans dengan peralatan lengkap khas pencegahan Covid-19 iaitu pakaian khas perlindungan peribadi (PPE), bagaimanapun belum sempat membuat pemeriksaan remaja berusia 18 tahun itu tiba-tiba bangun dan kemudian menangis.

Hasil pemeriksaan terhadapnya mendapati, dia rupa-rupanya berkeadaan begitu kerana terlalu sedih akibat putus cinta.

Kejadian lucu itu bermula apabila penduduk kampung terkejut melihat seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal tiba-tiba berhenti di tepi jalan sebelum tiba-tiba terjatuh dan terbaring.

Dalam satu rakam video yang dirakam oleh penduduk kampung, petugas perubatan bersedia dengan kelengkapan kerana bimbang jika lelaki itu dijangkiti Covid-19 namun sebaliknya bertukar haru kerana selepas disoal-siasat remaja itu mengaku terbaring di tepi jalan kerana terlalu kecewa selepas ditinggalkan teman wanitanya.

"Saya sangat sedih, hati saya sakit kerana masih sayang dia. Tetapi tiba-tiba dia minta putus, saya tak boleh buat apa," kata lelaki itu sambil menangis teresak-esak.

Petugas perubatan yang pada awalnya bertugas bagi mencegah Covid-19 itu sebaliknya bertindak memujuk remaja tersebut sambil memberikan kata-kata semangat supaya dia tidak berputus asa.

Remaja itu akhirnya tenang dan kemudian mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan berkenaan sebelum beredar dengan menunggang motosikalnya semula.

Artikel Berkaitan:

Penularan video itu membuatkan netizen meluahkan rasa hiba dan ada juga netizen menganggap insiden itu sebagai lucu.

Bagaimanapun kata @hariyanto, "Moga dia tenang, ada semangat lepas ini. Jangan buat orang ramai panik 'pengsan' di tepi sawah."

Kata @asiah, "Ini kisahnya... ingat benar Covid-19, kami doakan lelaki ini semoga mendapat pasangan yang lebih baik dan mencintainya apa adanya."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!