Pendakwah meninggal dunia akibat sesak nafas

Tinggal kenangan....Mohd Khairul Azman (kiri) bergambar bersama arwah isterinya, Shadiya dan anak-anak mereka.
Tinggal kenangan....Mohd Khairul Azman (kiri) bergambar bersama arwah isterinya, Shadiya dan anak-anak mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pendakwah, Shadiya Abbas, 40, meninggal dunia pada jam 5.05 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh akibat sesak nafas.

Perkara itu disahkan suaminya, Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai MK Azman menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

"Dukacita dimaklumkan isteri kesayanganku, Shadiya Abbas baru disahkan meninggal dunia jam 5.95 pagi sebab sesak nafas (asma)," tulisnya.

Allahyarham Shadiya terkenal sebagai srikandi pendakwah Muslimah negara yang lemah-lembut dan sering muncul di kaca televisyen serta berkongsi pelbagai maklumat di media sosial termasuk Facebook.

Mohd Khairul Azman berkata, jenazah isterinya masih belum boleh dibawa pulang kerana pihak hospital perlu membuat ujian pengesanan wabak koronavirus (Covid-19).

"Berat hati hendak meninggalkan guru, teman dan buah hati saya di Hospital Sungai Buloh.

"Oleh kerana kematian musim Covid-19, pihak hospital terpaksa buat ujian sama ada arwah positif atau tidak.

"Saya perlu tunggu 24 jam untuk dapatkan keputusan tersebut, bermakna esok (hari ini) jenazah akan ditentukan bagaimana dan di mana akan dikebumikan," tulis beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairul Azman berkata, pemergian Allahyarham Shadiya memberi kesan mendalam buat dirinya dan tiga orang anak mereka, Ahmad Al Fateh, Ahmad Al Izz serta Soffya.

Malah, katanya, mereka baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke-17 pada 30 Mac lalu.

Sementara itu, anak sulung pasangan berkenaan, Ahmad Al Fateh, 16, turut meluahkan rasa kehilangan dan terkejut dengan pemergian arwah ibunya.

"Mama dah kembali kepada ALLAH, kenapa awal mama pergi? Mama mesti menikmati di syurga kan? Seronoknya.

"Mama, tahun lepas raya 2019 tapi raya tahun ni (2020) dah tak ada peluang untuk mama suapkan saya. Mama masak sedap," tulisnya di Facebook beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!