Kuarantin di ibu negara sebelum pulang ke Pulau Pinang
GEORGETOWN - Semua rakyat Pulau Pinang yang baru pulang dari luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dikuarantin di ibu negara terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua penumpang tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang walaupun mereka berasal dari negeri ini.
"Bagi proses kuarantin terhadap penumpang dari luar negara, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyatakan bahawa penumpang luar negara yang tiba di KLIA perlu dikuarantin di Kuala Lumpur.
"Mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang walaupun mereka orang Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar melalui Facebook Live di Komtar tadi.
Mengulas lanjut katanya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) memaklumkan belum ada penerbangan antarabangsa ke Pulau Pinang pada waktu ini berikutan semua syarikat penerbangan membatalkan penerbangan sehingga diberitahu kelak.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, sehingga kini, kerajaan negeri menerima sumbangan berjumlah RM1.5 juta dalam bentuk peralatan keperluan perubatan seperti penutup muka, pelindung muka, peralatan perlindungan diri (PPE), mesin tekanan darah, alat dialisis dan sebagainya.
Beliau turut mengumumkan kadar kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 tengah malam semalam adalah 97.8 peratus.
Katanya lagi, sehingga kini, tiada anggota barisan hadapan di negeri itu dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dan memohon rakyat untuk terus mendoakan keselamatan mereka.
"Saya berharap barisan hadapan kita terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial, memakai penutup muka dan pemakaian alat pelindung diri mengikut keperluan," katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyatakan rasa terharunya kepada semua pihak yang menghantar mesej sebagai tanda prihatin kepadanya.
"Ikhlas saya menyatakan bahawa saya cukup tersentuh dengan mesej-mesej peribadi yang dihantar kepada saya. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan, doa dan kata-kata semangat. Tidak lupa juga yang bertanyakan khabar tentang kesihatan saya.
"Saya dalam keadaan baik, cuma rambut ada sedikit panjang dan tidak begitu kemas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!