Lesen MMC dibatalkan: Menteri Kesihatan

Dr Dzulkefly Ahmad - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Dzulkefly Ahmad - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan membatalkan lesen hospital Mawar Medical Centre (MMC) di Seremban, Negeri Sembilan, berkuat kuasa hari ini, selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, MMC perlu mengembalikan lesen hospital dan memberhentikan operasi hospital serta-merta.

Menjelaskan kronologi kes berkenaan, Dzulkefly berkata, MMC telah mengemukakan representasi kepada kementerian susulan notis surat tunjuk sebab untuk membatalkan lesen yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan pada 12 November lepas.

"Bagaimanapun, pihak Mawar Medical Centre gagal mengemukakan penjelasan dan bukti bahawa mereka tidak melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

"Oleh itu, representasi yang dikemukakan itu tidak dapat dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan surat pada 14 Disember lepas bagi tujuan pembatalan lesen MMC sebelum pihak hospital berkenaan mengemukakan rayuan di bawah Subseksyen 49(2), Akta 586 enam hari selepas itu.

Bagaimanapun, berdasarkan dokumen sokongan yang dikemukakan, pihak Pusat Hemodialisis Mawar telah menyerahkan kepada sebuah syarikat lain untuk menyelia, mengarah, mengawal semua aspek berkaitan pusat itu, yang jelas menunjukkan bahawa Pusat Hemodialisis Mawar bukan lagi pihak yang menjalankan dan menyediakan perkhidmatan di bawah Akta 586, katanya

"Oleh itu, rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan dan surat pengesahan pembatalan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Kesihatan pada hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dzulkefly berkata, selaras dengan ketetapan Peraturan 320(c), Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006, menjadi tanggungjawab pihak Pusat Hemodialisis Mawar sebagai pemegang lesen untuk memastikan kesinambungan rawatan hemodialisis bagi setiap pesakit di Unit Hemodialisis Mawar Medical Centre sedia ada.

"Tanggungjawab tersebut meliputi keperluan pemindahan pesakit ke pusat hemodialisis lain serta pengurusan bantuan kewangan dan subsidi rawatan yang diterima pesakit-pesakit itu," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!