Jangan panik, lakukan aktiviti menyeronokkan setiap hari!
SHAH ALAM - Jangan panik dan lakukan perkara baharu yang menyeronokkan pada setiap hari.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkongsi tips itu bagi memastikan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dilalui ini tidak melemahkan semangat seseorang itu untuk meneruskan kehidupan seharian.
Beliau berkata, apa yang dihadapi ketika ini adalah krisis yang tidak pernah dibayangkan dan sekelip mata ia merubah kehidupan rakyat Malaysia.
Namun begitu katanya, rakyat tidak boleh panik sebaliknya perlu mengatasi dan menunjukkan solidariti bersama.
"Virus ini (Covid-19) kenal manusia dan hanya manusia yang boleh hentikannya dengan pengukuhan nilai dalam diri kita.
"Lakukan apa sahaja yang menyeronokkan dan jangan biarkan kegusaran mengawal kita... panik hanya akan memanjangkan lagi pandemik ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sivamurugan berkata, rutin seharian yang hendak dilakukan bergantung kepada diri sendiri kerana perkara yang menyeronokkan akan membolehkan masa terisi dengan penuh manfaat.
Menurutnya, sebelum ini ramai sering merungut tiada masa untuk melakukan apa yang mereka suka kerana sibuk bekerja jadi barangkali inilah masanya untuk membaca, menulis, memasak, bersenam, berhubung dengan mereka yang selama ini kita katakan tidak ada masa atau menonton filem-filem kegemaran kita dan sebagainya.
Katanya, beliau sendiri terpaksa membuat beberapa perubahan rutin hariannya bagi menyesuaikan dengan keadaan sepanjang PKP ini yang semuanya harus dilakukan dalam rumah.
"Seawal pagi, selesai sarapan saya akan membuat kerja seolah-olah berada di pejabat kampus USM bagi memastikan diri tidak bosan berada di rumah.
"Antaranya, saya menulis memandangkan saya juga menyumbang kepada ruangan di Sinar Ahad dan mengedit buku untuk terbitan tahun ini. Saya baca akhbar-akhbar atas talian, buku, jurnal dan tulisan lain di atas talian khususnya bahan yang saya suka.
"Ia membantu bidang pengajaran dan pembelajaran saya yang kini semuanya sudah bersifat atas talian, di samping memeriksa beberapa tesis serta menilai jurnal," katanya.
Selain itu, Sivamurugan berkata, memandangkan beliau tinggal bersendirian jadi waktu terluang lain dimanfaatkan untuk memasak serta bersenam di rumah.
"Bila masak sendiri menyeronokkan malah memberi keyakinan pada diri sendiri selepas kali terakhir memasak ketika menuntut di Jepun dahulu... tapi kadang-kadang saya guna khidmat penghantaran makanan sahaja.
"Pada sebelah petang saya akan bersenam di rumah setiap hari, menonton filem yang sebelum ini saya terlepas serta berhubung dengan ibu yang tinggal di Tanjung Malim serta sahabat akrab," katanya.
Katanya, apa yang penting pastikan diri sentiasa melakukan aktiviti yang disukai pada setiap hari dan secara automatik ia juga akan membuatkan seseorang itu terus kekal positif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!