Jangan hukum anggota polis rotan pelaku ingkar PKP: Pembela
KUALA LUMPUR - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) meminta agar tiada tindakan dikenakan ke atas anggota polis yang merotan enam remaja dalam kejadian di Kunak, Sabah baru-baru ini.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, ketegasan terhadap individu melanggar PKP wajar sebagai membendung penularan koronavirus (Covid-19) dan pihaknya yakin anggota polis tersebut bertindak mengikut lunas undang-undang.
Menurutnya, ia juga menunjukkan ketegasan polis dalam menguatkuasakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Undang-undang membenarkan tindakan kekerasan diambil terhadap mereka yang ingkar dengan kekerasan yang munasabah.
"Tindakan polis berkenaan tidak mendatangkan kecederaan kepada pelaku ingkar tersebut dan masih di dalam lingkungan kebenaran undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan merotan pesalah PKP juga turut disokong bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
"Dalam keadaan getir di mana penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan, tindakan tegas wajar dilakukan. Malah kerajaan sendiri sudah memberikan amaran yang keras berulang kali," katanya.
Musa sebelum ini menyifatkan tindakan anggota polis itu bukan untuk mencederakan, sebaliknya sekadar peringatan tegas kepada individu terbabit untuk tidak ingkar arahan pihak berkuasa.
Terdahulu, memetik kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, jika dilihat dari sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar, namun dari segi moral, ia umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar.
Difahamkan, pihak polis akan mengambil tindakan terhadap anggota berkenaan selepas kejadian itu tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!