Bayaran BPN bawa sinar kepada golongan bekerja sendiri

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUANTAN- Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bermula esok memberi sinar kepada golongan yang bekerja sendiri selepas pendapatan mereka terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac.

Bantuan tunai itu disifatkan sebagai pertolongan untuk meneruskan kelangsungan hidup, khususnya kepada mereka yang selama ini menjadi penanggung tunggal keluarga.

Bagi tukang kebun V. Tamilarasan, 54, dari Taman Tas di sini, bantuan sebanyak RM1,000 daripada keseluruhan RM1,600 yang layak diterimanya esok membantu 'menutup kelompongan' dalam pendapatan bulananannya sebelum PKP berkuat kuasa.

"Selalunya saya boleh memperoleh RM2,000 sebulan yang digunakan untuk menyara lapan ahli keluarga. Sejak PKP, permintaan kerja amat kurang sehingga pendapatan itu berkurangan separuh sedangkan perbelanjaan bulanan masih sama.

"Jadi BPN akan digunakan untuk membeli barangan dapur dan membayar bil. Jika berbaki, saya akan simpan kerana simpanan sedia ada tidak banyak sedangkan kita tidak tahu bila keadaan akan kembali pulih atau jika PKP akan dilanjutkan," katanya semasa ditemui Bernama di sini hari ini.

Tamilarasan merupakan antara kira-kira empat juta isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah dan layak menerima bantuan BPN sebanyak RM1,600 yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac.

BPN, yang melibatkan dua fasa pembayaran iaitu pada esok dan Mei, bertujuan membantu meringankan beban kewangan rakyat terkesan susulan pelaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Penjual kuih, Afiq Zakwan Mohamed Ansary, 23, pula bersyukur dengan BPN yang akan diterima kerana pendapatan hariannya turun secara mendadak selepas kedai tempat dia meletak kuih tidak beroperasi ekoran pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

Afiq Zakwan berkata, dia bertekad untuk berjimat cermat menggunakan wang tunai RM1,000 yang bakal diterima bagi perbelanjaan keluarga kecilnya kerana tidak mahu menyusahkan orang tua atau adik-beradik lain yang turut mempunyai tanggungan sendiri.

"Saya mempunyai anak kecil berusia lima tahun, sudah pasti keperluan makan minumnya menjadi keutamaan kami suami isteri. Wang yang akan diterima akan dibelanjakan terlebih dahulu untuk keperluan asas kami tiga beranak.

"Tapi tidak bermaksud wang itu akan digunakan dengan boros. Jika sebelum ini saya membeli pelbagai jenis barangan dapur, sejak PKP saya lebih pandai berjimat dengan hanya memastikan satu jenis bahan mentah sahaja dimasak sehari," katanya.

Pekerja di sebuah pusat sukan, Mohd Firdaus Ghazali, 27, yang layak menerima BPN sebanyak RM800 bagi individu bujang di bawah pendapatan RM2,000 sebulan, berkata bantuan itu akan digunakan bagi menyelesaikan komitmen bulanan yang tidak mendapat pengecualian dalam pakej PRIHATIN.

Komitmen bulanan Mohd Firdaus masih berjalan kerana menggunakan perkhidmatan syarikat kredit untuk membeli kereta terpakai, menyebabkan dia agak runsing apabila tugasannya kurang selepas pelaksanaan PKP.

"Saya risau juga jika bulan ini tak dapat hulur kepada orang tua, tapi wang RM500 yang akan diterima esok membolehkan saya untuk terus menyumbang kepada perbelanjaan keluarga walaupun mungkin jumlahnya tidak banyak seperti selalu.

"Apatah lagi saya tinggal dengan keluarga... tak seronok jika tidak membantu kerana kami bukan orang senang. Emak juga, bila ada peluang, akan mengambil tempahan memasak untuk penghantaran secara kecil-kecilan," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!