40 mangsa banjir kilat dipindahkan
JOHOR BAHRU - Seramai 40 mangsa banjir kilat termasuk seorang warga emas dan seorang bayi di Jalan Permatang 6, Kempas di sini dipindahkan berikutan air di rumah mereka naik hampir 1 meter.
Mereka yang terdiri daripada enam keluarga dipindahkan ke Dewan Utama Jalan Permatang pada jam 6.25 petang tadi.
Seramai lapan anggota dari Fire Post Kempas serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin terlibat memindahkan mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan, manakala dua lagi bayi dan warga emas.
Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Kumullai Mohd Kenar berkata, mereka dipindahkan dengan bantuan satu unit Rapid Rescue Vehicle (RRV) dan satu jentera Fire Rescue Team (FRT).
"Mangsa terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan semuanya selamat dipindahkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, hujan lebat pada jam 3.45 petang tadi mengakibatkan sebatang pokok dengan ketinggian kira-kira 9.1 meter tumbang dan menghempap tiga buah kereta di Taman Desa Mutiara di sini.
Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Jasni Saidin berkata, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera FRT dari BBP Tebrau dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut beliau, kerja-kerja mengalih dan memotong pokok berkenaan siap jam 5.29 petang dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!