Berita palsu menjadi wabak

A
A
A

Masalah koronavirus (Covid-19) terus mencemaskan dan bertambah serius. Ketika pihak berkuasa terutama frontliners bertungkus lumus mencegah dan menangani kes-kes pandemik ini, wujud pula wabak berita palsu. Hampir setiap minit kita menerima terlalu banyak maklumat berkaitan dengan Covid-19 namun tidak pasti kebenaran dan kesahihan berita atau maklumat berkenaan.

Berita palsu yang semakin menjadi-jadi masa kini mestilah ditangani segera. Pesalah baik individu ataupun organisasi atau industri media yang terlibat perlulah dihadap ke muka pengadilan. Jangan sampai isu berita palsu Covid-19 mengganggu pihak berkuasa dan kesihatan untuk menjalankan tugas dengan selesa.

Di sisi yang lain pula, kita telah menerima limpahan maklumat sehingga tidak dapat membezakan fakta atau auta mengenai Covid-19. Sehinggakan kita tidak lagi menganggap maklumat yang diterima melalui WhatsApp dan media sosial yang lain sebagai penting. Ramai yang meninggalkan kumpulan WhatsApp kerana tertekan dan ingin memberi fokus kepada rutin harian.

Sebenarnya banyak maklumat berupa ingatan atau arahan yang benar dan sahih berkaitan Covid-19 disalurkan melalui media sosial terutamanya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan mengarahkan kita agar duduk di rumah untuk mencegah virus Covid-19 daripada terus merebak. Kita telah membantu menjayakan misi untuk mencegah dan menghapuskan Covid-19 hanya dengan duduk di rumah.

Kita seharusnya masih boleh bersyukur. Walaupun tidak boleh keluar rumah, namun masih lagi boleh berinteraksi dengan adanya internet dan media sosial. Bayangkan jika arahan duduk di rumah tanpa ada media sosial seperti ketika wabak taun dan cacar suatu ketika dahulu?

Sebahagian besar daripada kita juga menggunakan masa yang terluang untuk melayan media sosial. Itu tidak menjadi masalah andainya ia digunakan untuk kebaikan seperti kerja dari rumah secara interaktif digital.

Media sosial juga dijadikan gelanggang untuk mencaci dan menghina petugas dan pihak penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Pihak yang sengaja menyebarkan maklumat palsu ingin menjadi juara sebagai orang pertama mendapat dan menyebarkan maklumat. Sedangkan sesetengah perkara itu tidak berkaitan langsung dengan Covid-19. Gambar lama yang diulang tayang atau menukar ayat disunting yang menyebabkan kekeliruan dan ketakutan.

Pelbagai isu dan polemik tidak berasas ketika Covid-19 juga sengaja dibuat dengan agenda tersendiri untuk menjatuhkan maruah dan integriti individu atau organisasi yang sebahagiannya merupakan berita palsu semata-mata. Semacam wujud perang siber yang terus menyerang di antara satu sama lain dan dalam masa sama banyak berita palsu dicipta dan disebarkan tanpa asas yang benar.

Dirancakkan lagi dengan netizen yang tidak berfikir, tidak cakna dan menyampaikan kepada yang lain sehingga merebak dan meluas. Mungkin kita tanpa sengaja menyumbang kepada penyebaran berita palsu dek suka mencampak ke dalam grup WhatsApp. Sedangkan jika kita tidak pasti mengenai maklumat Covid-19, jangan kongsi!

Kita pun tak faham kenapa masih ada lagi yang melawan dan melepaskan geram dengan membuatkan kenyataan berbentuk kecaman di media sosial. Masih ada individu yang tidak mengikut arahan sedangkan Covid-19 ini menyerang seluruh dunia. Sedangkan setiap tindakan yang dilakukan untuk mengekang virus ini terus merebak juga dilaksanakan di merata dunia.

Seseorang yang menjadi penyebar berita palsu mengenai Covid-19 telah melanggar Akta Media Sosial dan Multi Media. Penyebaran berita palsu menyebabkan kekeliruan dan keresahan yang boleh menggugat keselamatan diri dan negara. Walaupun Akta Fitnah dan beberapa akta lain boleh digunakan untuk mengatasi gejala berita palsu ini, tindakan proaktif amat diperlukan buat masa ini.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!