Fatimah kongsi detik mencabar, cemas semasa dikuarantin
KUCHING - Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang diarah menjalani kuarantin selama 14 hari melakukan rutin hariannya seperti biasa di dalam rumah, namun ada beberapa ketika beliau terpaksa berdepan detik-detik yang mencemaskan.
"Setiap kali tekak saya terasa kering, akan bersin atau batuk, saya berasa cemas. Saya dan suami (Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah) telah diminta mengawasi gejala-gejala seperti demam, batuk dan sesak nafas,” katanya ketika berkongsi pengalaman menjalani kuarantin sejak beberapa hari lepas melalui aplikasi WhatsApp dengan beberapa pengamal media di sini.
Fatimah adalah antara lima anggota Kabinet Sarawak yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas mereka dilaporkan menjadi kontak rapat beberapa individu yang diuji positif koronavirus (Covid-19).
Beliau menyibukkan dirinya dengan bekerja seperti biasa di rumah tanpa meninggalkan solat dan aktiviti berbentuk kerohanian.
Meskipun dikuarantin, Fatimah sentiasa berhubung dengan kakitangannya dan Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Negeri yang mana beliau adalah Timbalan Pengerusi.
“Ada ketikanya jawatankuasa kami bekerja dari rumah sehingga lewat malam. Kami menyelesaikan masalah dengan berkomunikasi antara satu sama lain melalui telefon. Saya boleh menjangkakan bahawa bil telefon saya akan meningkat pada bulan Mac dan April. Ini tidak dapat dielakkan,” katanya.
“Sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan. Makan makanan sihat (ini lebih mudah diperkatakan daripada dilakukan kerana kelemahan saya ialah kudap-kudapan). Minda, tubuh badan dan semangat, semua perlu dijaga,” katanya.
Pada masa sama, mesej yang diterima melalui WhatsApp lebih banyak berbanding hari biasa dengan kata-kata bagi menenangkan hati, nasihat dan galakan yang telah membantu menaikkan semangat beliau selain merapatkan hubungannya dengan anggota keluarga serta rakan-rakan.
Anggota Kabinet Sarawak lain yang diarah menjalani kuarantin ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti, Datuk Dr Stephen Rundi Utom. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!