Robiah 'COD' lebih 400 kuih setiap hari
SLIM RIVER - Mula-mula takut juga tak ada orang nak membeli, tapi alhamdulillah makin hari order bertambah. Sekarang tak menang tangan dibuatnya, kata pembuat kuih, Robiah Mohd Arip, 68.
Robiah dari Kampung Balun di sini sama sekali tidak menyangka idea diilhamkan suaminya, Musa Godin, 68, untuk menjual kuih secara penghantaran dari rumah ke rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat permintaan tinggi di kalangan penduduk di situ.
Menurutnya, sebelum ini dia mengambil tempahan membuat kuih bagi majlis dan program keraian termasuk di surau dan masjid, namun terhenti sebaik PKP dilaksanakan.
"Daripada duduk diam sahaja di rumah, ada baiknya makcik teruskan buat kuih.
"Suami makcik ambil upah hantar orang dengan van dan kebetulan tengah lapang, dia pun cadangkan makcik teruskan buat kuih dan dia boleh hantar ke rumah-rumah dalam kampung ini," katanya.
Bermula dengan tiga jenis kuih iaitu karipap, wadeh dan koci, kini Robiah perlu menyediakan sekurang-kurangnya 10 jenis kuih setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Kuih lain dihasilkan adalah donut, sagu, kasturi, apam, kaswi, seri muka dan kuih lapis antara 50 ke 70 biji setiap jenis.
Dengan bantuan anak bongsu dan dua cucu, Robiah seawal jam 5 pagi sudah memulakan proses membuat kuih.
"Dalam jam 4 petang, barulah suami makcik bawa dan hantar kuih ke rumah-rumah, tak jauh pun, hanya kalangan penduduk kampung sahaja, RM2 bagi 5 biji kuih.
"Ada juga kampung-kampung sekitar minta hantar kuih sama, tetapi makcik tak mampu nak penuhi, kat kampung ni pun dalam sehari ada yang beli sampai RM30," katanya.
Dia berkata, pendapatan diperoleh hasil jualan kuih itu digunakan bagi menambah kos membeli barangan keperluan dapur.
"Tidak dinafikan pelaksanaan PKP memberi kesan kepada pendapatan rakyat, tetapi kita tak boleh patah semangat.
"Selagi ada usaha segalanya boleh jadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!