Terus bersuara semasa krisis

A
A
A

BEBERAPA hari selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ‘Prihatin’ bagi menghadapi wabak Covid-19, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan media bahawa fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diagihkan pada akhir April dan Mei.

Beberapa pihak telah menyuarakan kritikan terhadap kenyataan tersebut, khususnya mengenai pembayaran BPN yang hanya akan dibuat di akhir bulan April.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi berkata, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga penghujung April kerana ramai rakyat menghadapi kehidupan sukar apabila tidak dapat keluar bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penulis sendiri melalui ciapan di Twitter telah menyuarakan perkara yang senada dengan Ketua Pemuda UMNO.

Di samping itu, Pakatan Harapan juga telah mencadangkan mekanisme bayaran kepada golongan M40, yang sebelum ini tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH), dibayar melalui mekanisme e-tunai supaya bantuan tidak terlewat hanya kerana kerajaan tidak mempunyai data golongan tersebut.

Hasil desakan dan kritikan ini, baru-baru ini Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa bayaran BPN akan dipercepatkan kepada awal April.

Akan tetapi, apabila ada pihak menyuarakan pandangan dan lebih lagi, kritikan terhadap keputusan dan tindakan kerajaan, ada pula pihak yang mengatakan bahawa ‘jangan berpolitik semasa krisis’.

Frasa ‘jangan berpolitik’ ini telah digunakan berkali-kali sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan beberapa minggu lepas.

Walaupun benar sekarang bukannya masa untuk bermain politik partisan, ‘jangan berpolitik’ ini telah menjadi mantera untuk membungkam mereka yang mempersoalkan tindakan dan keputusan pihak kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Melalui PKP, kerajaan dan penjawat awam telah diberikan kuasa dan budi bicara yang meluas mengikut undang-undang.

Kuasa dan budi bicara ini diperlukan untuk memastikan krisis wabak Covid-19 ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Tiada pihak wajar mempertikaikan perlunya PKP dilaksanakan.

Baru-baru ini tular video seorang anggota polis merotan beberapa individu muda yang dikatakan telah mengingkari PKP.

Mengingkari PKP sememangnya sesuatu kesalahan, tetapi anggota polis itu tidak berhak untuk ‘menghukum’ individu-individu tersebut. Tugas polis adalah untuk melaksanakan PKP, bukan untuk menghukum.

Dalam situasi di atas, adalah wajar untuk rakyat menegur apa yang berlaku kerana jelas bahawa anggota itu telah melangkaui batas bidang kuasanya.

Kita sebagai rakyat biasa wajar terus mempersoalkan atau mengkritik tindakan kerajaan sekiranya perlu.

Bukan mengingkari arahan mereka, seperti apa yang dilakukan oleh sesetengah individu yang dirakam melawan polis dan sebagainya, tetapi bersuara sebagai check and balance kepada apa yang dilakukan.

Sekiranya keputusan Kerajaan terdapat kelemahan, tegurlah. Sekiranya terdapat penjawat awam yang bertindak di luar bidang kuasa, kritiklah. Terus bersuara, walaupun semasa situasi krisis.

Kita harus terus bersuara bukan untuk ‘berpolitik’ atau membangkang hanya sebab mahu bangkang.

Kita harus terus bersuara untuk memastikan kerajaan melakukan yang terbaik dalam kerangka bidang kuasa mereka supaya kita dapat sama-sama mengatasi wabak ini.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!