Pengecualian bayaran sewa babit kos RM20 juta
KUALA LUMPUR - Pengecualian bayaran sewa bulanan selama enam bulan bermula Mac lepas bagi kantin, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain yang beroperasi di bangunan Persekutuan, melibatkan anggaran kos RM20 juta.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu tidak termasuk sewa 220 buah taska, di tempat kerja sektor awam seluruh negara sebanyak RM5.28 juta.
“Kementerian dan agensi penyewa premis milik kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain yang beroperasi hendaklah berunding dengan operator masing-masing bagi melaksanakan keputusan ini.
“Inisiatif ini akan meringankan beban yang ditanggung pengendali premis yang terkesan akibat ketidakmampuan untuk meneruskan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berikutan penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya di sini hari ini.
Beliau berkata, penyewaan ruang bangunan kerajaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), dan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Pada 27 Mac lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berkata, premis milik kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria dan kedai serbaneka, diberi pengecualian sewaan selama enam bulan.
Muhyiddin berkata, ia termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun kerajaan Persekutuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!